AEON BiG (M) Sdn Bhd hari ini telah mengumumkan perjanjian dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai penaja eksklusif Hipermarket untuk musim 2023.
Kerjasama ini sekaligus bakal menyatukan sebuah hipermarket terkemuka di Malaysia dan sukan yang paling popular di negara ini, bersama MFL yang mengendalikan Liga Malaysia seperti Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Malah, penglibatan AEON BiG dalam bidang sukan ini bagi mempromosikan sukan tempatan dan membina hubungan yang lebih kukuh di dalam komuniti.
Penajaan ini juga merupakan salah satu bukti usaha berterusan AEON BiG untuk menyokong aktiviti sukan di Malaysia sambil menyediakan tawaran baru melalui kerjasama dengan rakan kongsi seperti MFL.
“AEON BiG amat bersyukur kerana mendapat peluang untuk menjalin kerjasama dengan MFL, sebuah organisasi terkemuka yang mengendalikan sukan yang paling popular di negara ini.”
“Melalui penajaan ini, kami ingin berada lebih dekat dengan pelanggan kami melalui sukan bola sepak, kerana tiada apa yang dapat menyatukan rakyat lebih baik daripada sukan.”
“Kami juga akan membawa tawaran eksklusif, promosi dan pengalaman baru untuk pelanggan kami melalui kerjasama baru ini,” kata Sheikh Farouk.
Namun begitu, menerusi kenyataan oleh Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, kehadiran AEON BiG memberi isyarat yanh cukup baik buat Liga Malaysia untuk mengorak langkah musim ini bagi meningkatkan mutu pertandingan dan komersial.
“MFL dan juga Rakan Kongsi Liga mengambil keputusan besar untuk melakukan penstrukturan semula Liga Malaysia dan antara fokus utama adalah untuk meningkatkan lagi profil Liga Malaysia.”
“Bola sepak adalah sukan nombor satu di negara ini dan juga satu industri sukan yang besar jadi kami memerlukan sokongan dan penglibatan syarikat-syarikat korporat untuk melonjakkan lagi industri ini justeru saya amat mengalu-alukan sokongan AEON BiG terhadap Liga Malaysia,” katanya.
Aksi pertama Liga Super akan bermula melibatkan pertemuan antara JDT menentang Terengganu bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim.