Penyokong Arsenal merasa kecewa bila melihat nama Bayern Munich sebagai lawan mereka di pentas suku akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Ini kerana pasukan gergasi Jerman itu dianggap pasukan badi buat The Gunners dalam saingan UCL.
Mengikut rekod UEFA.com, Die Roten memiliki rekod tujuh kemenangan daripada 12 pertemuan sebelumnya ke atas pasukan gergasi London itu.
Ini termasuk kejayaan membelasah Arsenal 5-1 dalam aksi pusingan 16 pasukan terbaik musim 2016-2017.
Selain itu, kelibat penyerang berbisa England, Harry Kane dijangka menguji barisan pertahanan anak buah Mikel Arteta.
Data Transfermarkt menunjukkan Kane bukan saja membantu kelab lamanya, Tottenham Hotspur mengalahkan Arsenal enam kali dalam 17 pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Malah, penyerang berusia 30 tahun itu turut meledakkan 14 gol dan mencipta dua bantuan gol dalam 17 perlawanan sama menentang The Gunners.
Kane ketika ini menerajui carta penjaring terbanyak Bundesliga dengan 30 gol, sembilan gol di hadapan penyerang VfB Stuttgart, Serhou Guirassy.
Arsenal dan Die Roten bakal bersemuka untuk aksi suku akhir pertama pada 9 April sebelum aksi timbal balik pada 16 April.