Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menyatakan bahawa beliau mahukan penjaga gol muda seperti Haziq Nadzli untuk lebih beraksi selepas ini.
Haziq kali pertama diberi harapan untuk membarisi kesebelasan utama dalam saingan liga pada musim ini menggantikan penjaga gol utama, Farizal Marlias.
Beliau menjelaskan tujuannya menurunkan Haziq untuk persediaan awal di mana jika berlaku perkara yang tidak dijangka, beliau ada penjaga gol yang sentiasa bersedia untuk digantikan.
“Kita tahu macam mana pentingnya Farizal untuk kita dalam pasukan tetapi kita juga memerlukan penjaga gol muda seperti Haziq untuknya mendapatkan minit permainan.”
Dalam perlawanan malam tadi ketika menewaskan Melaka United, penjaga gol yang berusia 24 tahun itu telah menampilkan aksi yang memuaskan untuk membantu pasukan dengan kemenangan 4-0 di SSI.
“Jadi, malam ini (semalam) adalah peluang yang terbaiknya untuknya beraksi sebab kita tahu apa akan jadi sekiranya ada sesuatu yang tidak diingini berlaku,” katanya.
“Dan sekurang-kurangnya kita ada penjaga gol seperti Haziq yang sentiasa bersedia, itulah sebabnya kita menurunkan dia,” jelasnya kepada MFL.