Pengendali Cape Verde, Pedro Brito menyifatkan ketiadaan beberapa tonggak bukan halangan buat pasukan itu mempamerkan aksi terbaik menentang Malaysia.
20 pemain The Blue Sharks tiba di Kuala Lumpur baru-baru ini sebagai persiapan menghadapi aksi persahabatan pertama pada 29 Mei ini.
Antara yang kelihatan ialah pemain sayap Selangor FC, Alvin Fortes, Yuran Fernandes (PSM Makassar) dan kapten, Ryan Mendes.
Meskipun begitu, ramai pemain yang tidak dapat menyertai kem kerana masalah kecederaan atau terikat dengan komitmen pasukan.
Antara pemain yang tidak dapat menyertai kem kali ini ialah bek tengah Villarreal, Logan Costa. Costa terpaksa disisihkan selepas mengalami kecederaan dalam aksi terakhir La Liga.
Meskipun beraksi tanpa beberapa tonggak utama, Brito yang mesra disapa Bubista percaya Cape Verde mampu memberi cabaran kepada Harimau Malaya.
“Kita ada ramai pemain yang tidak berada di sini kerana mereka mengharungi babak musim yang paling kompetitif. Mereka perlu mengharungi perlawanan pada akhir musim.
“Tapi macam yang saya kata kepada anda, ini bukan tentang seorang pemain tetapi yang paling penting, seluruh pasukan. Kita juga ada masalah kecederaan tetapi itu bukan halangan.
“Kita sudah ada pasukan dan para pemain sudah berkumpul. Kita akan berikan yang terbaik,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
Selain aksi pada 29 Mei, Malaysia dan Cape Verde akan bertemu lagi dalam aksi tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun.