Cape Verde terpaksa menggugurkan pertahanan Villareal, Logan Costa menjelang aksi pemanas badan menentang Harimau Malaya.
Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Cape Verde (FCF) telah mengumumkan senarai 36 tonggak yang bakal dibawa untuk dua aksi persahabatan bertemu skuad kebangsaan Malaysia.
Beberapa nama bintang yang beraksi di Eropah dibawa oleh Cape Verde untuk menentang Harimau Malaya ini antaranya Logan Costa (Villareal) dan juga Dailan Livramento (Hellas Verona).
Walau bagaimanapun, skuad bimbingan Bubista ini terpaksa terbang ke Malaysia tanpa kelibat bek kental Villareal, Logan Costa yang digugurkan akibat kecederaan ketika beraksi di Sepanyol.
“Disebabkan kecederaan yang dialami dalam aksi terakhir bersama Villarreal, Logan Costa telah digugurkan daripada skuad kebangsaan untuk 3 perlawanan persahabatan akan datang,” umum FCF dalam satu kenyataan.
Oleh itu, sebagai ganti, Bubista telah memanggil Kristopher da Graça bagi menggantikan posisi Logan Costa dan beliau akan sertai pasukan apabila sampai di Malaysia pada Selasa.
Dalam perkembangan yang sama, pasukan Harimau Malaya juga mengalami nasib yang serupa apabila terlepas khidmat bek Sabah, Dominic Tan yang ditimpa kecederaan ketika kem latihan.
Aksi Malaysia vs Cape Verde akan berlangsung pada Khamis, 29 Mei di Stadium Cheras dengan sepak mula aksi tepat jam 9 malam.