Advertisements
Kim Pan-gon Anggap Seri Satu Keputusan Yang Hebat
Asia
MakanBola
FA Malaysia

Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon akui sangat berpuas hati selepas anak buahnya berjaya bangkit mengikat Korea Selatan dalam aksi terakhir saingan peringkat kumpulan semalam. 

Malaysia berjaya menghalang Korea Selatan untuk menjadi juara kumpulan dengan keputusan 3-3. 

“Ya, bagi kita, ini satu keputusan yang hebat. Tahniah kepada semua pemain dan rakyat Malaysia. Saya menghargai sokongan yang diberi kerajaan, pemain, staf, FAM dan semua menyokong kita pada tahun ini.

“Saya merasa bersyukur kerana ini semua usaha pemain, jadi tahniah kepada mereka.

“Sudah tentu ini sesuatu yang sukar untuk memotivasikan para pemain untuk detik ini. Kita gagal layak ke pusingan 16 pasukan terbaik,” katanya dalam sidang perlawanan media selepas tamat perlawanan semalam. 

Dalam pada itu jurulatih kelahiran Korea Selatan sedar ia bukan tugas mudah beraksi dengan pasukan terbaik di dunia.

Namun, beliau tetap memandang positif terhadap anak buahnya kerana pentas Piala Asia adalah pentas terbaik buat semua pemain untuk mendapatkan sebanyak pengalaman dan ketahui di mana tahap sebenar mereka.

“Tiada lagi sasaran dalam kejohanan ini tapi kita cuba  memotivasikan pemain perlawanan ini. Kita berdepan pasukan (yang pernah) layak ke pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia, berada dalam ranking 25 pasukan terbaik (dunia). Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) ada di sini, pemain pertahanan terbaik Bundesliga juga ada di sini.

Tambahnya, beliau sangat gembira dengan prestasi setiap pemain yang konsisten mempamerkan aksi terbaik meskipun berdepan dengan pasukan yang ranking terbaik di dunia.

“Jadi, saya fikir ini satu cabaran yang bagus buat skuad kebangsaan Malaysia. Pada saya, saya amat bangga dengan semua pemain walaupun pada separuh masa pertama kita bergelut. Kita bangkit pada separuh masa kedua untuk mendahului dan ketinggalan lagi sebelum kita menyamakan kedudukan. Ianya sesuatu yang mengagumkan, satu keputusan yang bagus,” katanya.

“Tapi bagi saya, ini satu perlawanan berkualiti tinggi. Korea Selatan satu pasukan berkualiti tinggi dan kita bergelut. Kita boleh lihat dari segi penguasaan bola, kita hanya mendapat 16% dengan selebihnya didominasi oleh Korea Selatan,” katanya lagi.

Malaysia akhiri peringkat kumpulan dengan keputusan seri sekaligus berada di tangga tercorot kumpulan dengan 1 mata. 

Sementara Korea Selatan, Jordan dan Bahrain menjadi wakil kumpulan layak ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023.