Kim Pan-gon Guna Drone Kenal Pasti Prestasi Setiap Pemain

Kim Pan gon 8 Kim Pan-gon Guna Drone Kenal Pasti Prestasi Setiap Pemain
FA Malaysia


Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah melakukan perubahan besar-besaran terhadap sesi latihan pasukan sejak mengambil alih jawatan tersebut kira-kira 3 bulan yang lalu.

Perubahan segera yang dilakukan oleh beliau telah mendapat respon positif daripada para pemain yang kelihatan lebih bersemangat dan juga bermotivasi tinggi untuk memberikan yang terbaik buat pasukan.

Menurut satu kenyataan oleh pemerhati bola sepak tempatan, Piang Shankly, beliau ada berkongsikan serba sedikit tentang latihan Harimau Malaya berdasarkan tinjauannya.

Individu ini juga menyatakan keterujaannya apabila melihat banyak perubahan yang telah dilakukan oleh Pan-gon dalam usaha memacu semula kegemilangan bola sepak Malaysia.

“Sesi latihan yang dijalankan oleh Kim Pan-gon lebih terperinci dan tersusun.”

Sambil itu, beliau juga dapat menyaksikan riak wajah para pemain yang amat gembira untuk berlatih dan memperbaiki mutu permainan di atas padang nanti.

Perkara yang menjadi titik perubahan paling besar yang telah dikesan adalah melalui penggunaan drone untuk memantau setiap gerak geri pemain selain dapat mengesan kesalahan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan oleh barisan kejurulatihan.

“Ada satu sesi yang menggunakan drone.”

“Drone bukan cap ayam, rasanya lebih RM20 ribu harga drone tu,” jelas beliau dalam satu hantaran twitter.

Hal ini juga sejajar dengan usaha-usaha kelab ternama Eropah terutamanya di Liga Perdana Inggeris (EPL) yang turut menggunakan pendekatan sama dalam sesi latihan mereka.

Piang juga sempat memuji tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila sanggup mengeluarkan perbelanjaan dan melabur untuk perkara yang membawa kebaikan kepada bola sepak negara.

Hal ini sekaligus bakal menyuntik semangat para penyokong untuk melihat Malaysia berjaya dalam Kelayakan Piala Asia 2023 nanti.