Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon gembira dengan kesungguhan dan mentaliti yang ditonjolkan para pemain Harimau Malaya setelah berjaya bangkit mengikat Syria pada babak kedua perlawanan.
“Keputusan yang bagus. Pada pandangan saya, corak permainan kami pada separuh masa pertama amat baik dan kami mampu melawan pasukan yang berada di ranking ke-94. Cuma kami lakukan dua kesilapan. Separuh masa kedua, kami tunjukkan pada semua mentaliti Malaysia kami, semangat Harimau Malaya dan kami berjaya mengejar Syria.” ujar Kim Pan-gon setelah tamat perlawanan.
Kim Pan-gon turut berasa bangga dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemain dalam perlawanan ini.
“Saya bangga dengan para pemain Malaysia. Mereka berjaya mengubah perlawanan ini.” tambah Kim Pan-gon lagi.
Malaysia bangkit mengikat Syria 2-2 hasil jaringan dua pemain gantian iaitu Akhyar Rashid dan Darren Lok.
Malaysia menampilkan corak permainan yang lebih bertenaga pada separuh masa kedua dengan beberapa pertukaran dilakukan oleh Kim Pan-gon seperti memasukkan Akhyar Rashid, Darren Lok, Shahrul Nazeem, Safawi Rasid, Sergio Aguero dan Junior Eldstal.
Malaysia kini bakal menentang China bagi satu lagi aksi persahabatan pada 9 September ini.