Kem kejurulatihan Harimau Malaya telah berangkat ke Barcelona, Sepanyol pada 17 April yang lepas dan berada di sana selama seminggu.
Delegasi ini bertujuan melakukan lawatan teknikal dan menghadiri beberapa jemputan daripada dua kelab Sepanyol, Barcelona dan Espanyol. Kim Pan Gon hadir bersama Pau Marti Vicente (Penolong jurulatih), Cho Junho (Jurulatih Penjaga Gol), Jihyeon Park (Jurulatih Kecergasan) dan Lim Jaehun (Jurulatih Analisis Prestasi).
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kem kejurulatihan Malaysia telah berpeluang untuk menyaksikan sesi latihan pasukan kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona. Mereka juga sempat melawat fasiliti latihan kelab dan bertemu dengan beberapa pegawai serta staf kejurulatihan kelab termasuk ketua jurulatih FC Barcelona, Xavi Hernandez.
Kim Pan-gon dan staf kejurulatihannya turut mengunjungi sebuah kelab Sepanyol yang berpangkalan di Barcelona iaitu Espanyol untuk melawat pusat latihan pasukan dan menghadiri seminar oleh jabatan metodologi pada 20 April 2023.
Sepanjang berada di Barcelona, Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihannya juga berkesempatan untuk menyaksikan dua perlawanan La Liga iaitu pada aksi Espanyol bertemu Cadiz serta FC Barcelona menentang Atletico Madrid pada Ahad, 23 April 2023.
Selain itu, Jihyeon Park dan Lim Jaehun juga telah ke Mallorca bagi menyaksikan satu lagi perlawanan La Liga, Mallorca bertemu Getafe pada Ahad dan seterusnya menyaksikan sesi latihan, bertemu pegawai pasukan berkenaan pada Isnin.
Lawatan ini dilihat sebagai satu langkah positif buat kem Harimau Malaya dalam membuat persediaan pasukan menjelang kempen Piala Asia 2023 kelak.