Kisah benar pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Milos Gordic sudah pastinya mampu menjentik sanubari kita sebagai manusia.
Umum mengetahui masalah tunggakan gaji yang dialami oleh pemain-pemain dan staf pasukan Kedah dan ianya jelas sekali mengganggu kehidupan mereka.
Milos Gordic yang merupakan pemain import dari Serbia difahamkan tidak dapat pulang ke negaranya bagi menemani isteri tercinta ketika melalui detik manis dan getir melahirkan cahaya mata mereka.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh penyokong setia pasukan Kedah, Hazriq Fahimy melalui satu hantaran di laman Facebook.
“Sahabatku sekalian, dia ni (Milos Gordic), disaat isterinya memerlukan dia disisi, disaat zuriatnya sendiri baru keluar ke dunia ini, dia tak dapat nak bersama-sama disisi insan tersayang dia sebagaimana insan lain mahukan.
“Manakan tidak, hendak terbang pulang pun tak punya wang. Berbulan bulan tak dapat pulang, tak dapat gaji dan hanya mampu memendam perasaan dari dalam, betapa Allah yang Maha Mengetahui kepiluan itu andai kita pula ditempat dia.
“Walaupun kita berbeza agama, bangsa dan negara, disudut hatiku amat merasa sedih dan simpati yang amat sangat pada dia atas nama kemanusiaan itu,” luah Hazriq di laman Facebook.
Isu tunggakan gaji yang melanda pasukan Kedah bukanlah perkara yang baharu malah sudah tersebar meluas bukan sahaja di dalam negara malah turut mendapat perhatian peminat bola sepak dari luar negara.
Jurulatih Kedah, Nafuzi Zain sebelum ini tidak dapat memberi jaminan adakah pemain-pemain Kedah ini akan dapat diturunkan pada perlawanan-perlawanan seterusnya dek kerana masalah gaji yang masih berlarutan.