Kisah Staf JDT Peluk Islam Sentuh Hati Warganet
MakanBola
DYAM Tunku Ismail

Kisah seorang staf pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) memeluk Islam baru-baru ini menyentuh hati warga maya.

Portal Johor Gazette melaporkan peristiwa itu berlaku dalam satu majlis penuh makna di Masjid Jamek Pasir Pelangi.

Lebih menarik, detik bersejarah ini turut disaksikan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

Selain menjadi saksi majlis berkenaan, Tunku Ismail turut memeluk dan mengucapkan tahniah kepada staf pasukan Harimau Selatan itu.

Gambar peristiwa ini turut dikongsikan di semua platform media sosial rasmi baginda. Selepas kisah ini disiarkan di Johor Gazette, ramai pengguna media sosial melafazkan rasa syukur kepada Allah s.w.t.

Seorang pengguna bernama Shahril Yahya berharap peristiwa ini menjadi asbab kebaikan buat semua. “Semoga menjadi asbab kebaikan dan hidayah buat umat seluruh alam. Selamat datang, saudara,” katanya di ruang komen Facebook.

Seorang lagi pengguna bernama Jubair bin Nufair melafazkan rasa syukur atas pengislaman saudara baru itu. “Alhamdulillah, ibarat bayi yang baru dilahirkan,” ujarnya.

Semoga saudara baharu ini diberi kekuatan, hidayah dan dipermudahkan segala urusan dalam menempuh kehidupan harian sebagai seorang Muslim.