Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mahu anak-anak buahnya tidak terlalu memikirkan keputusan perlawanan Central Coast Mariners dengan Stallion Laguna.
Dengan kedua-dua pasukan hanya dipisahkan satu mata, mereka perlu meraih kemenangan dalam aksi terakhir Kumpulan G esok jika mahu layak ke separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC.
Mengikut Footy Rankings, Terengganu bukan saja perlu berharap CCM tewas kepada Stallion esok. Malah, mereka perlu menang ke atas Bali United dengan tujuh gol.
Walaupun ada menganggap ini sebagai misi mustahil, Steinbruckner berpandangan Terengganu hanya boleh fokus pada apa yang berlaku di atas padang.
Ini kerana jika The Stallions meraih kemenangan sekalipun, tiada gunanya jika skuad Peteh gagal raih kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
“Kita akan ikuti perlawanan (CCM vs Stallion) itu esok. Tetapi kita juga harus lihat kepada diri kita sendiri. Saya selalu katakan kita mesti bermain pada tahap maksimum bila beraksi untuk diri sendiri.
“Keputusan perlawanan wakil Filipina (jika berjaya menewaskan CCM) itu bagus tetapi itu tidak berguna kalau kita tidak bagus (bila menentang Bali United),” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.
Finalis Piala Malaysia 2023 itu bakal berdepan Bali United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin esok.