‘Kita Tak Bantu Mereka’ Pep Guardiola Sebak Lihat Palestin Derita
MakanBola
Manchester City

Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola mengakui merasa sebak melihat penderitaan rakyat Palestin ditindas rejim Israel.

Roya News melaporkan kenyataan jurulatih Sepanyol itu dibuat dalam konsert amal Act x Palestine yang diadakan di Barcelona baru-baru ini.

Sebelum konsert bermula, bekas pengendali Barcelona itu diberi peluang membuat ucapan. Guardiola memulakan ucapan dengan memikirkan imej derita rakyat Palestin yang mendominasi media sosial dalam tempoh dua tahun.

“Saya sentiasa fikir, apa yang mereka pasti fikir?” katanya di arena sukan Palau Sant Jordi.

“Saya fikir kita telah abaikan dan tinggalkan mereka bersendirian. Saya selalu fikir mereka pasti kata, ‘Di manakah anda? Datanglah bantu kami.’ Dan sehingga sekarang, kita tidak melakukannya.”

Guardiola turut membidas kuasa-kuasa dunia terutama negara Barat yang dilihat gagal membantu menangani konflik yang timbul. Beliau juga melabel kepimpinan negara-negara itu sebagai pengecut.

“Mungkin kerana yang berkuasa ialah golongan pengecut kerana mereka secara dasarnya menghantar orang muda yang tak bersalah untuk membunuh orang yang tak berdosa.

“Inilah apa yang dilakukan oleh golongan pengecut. Ini kerana mereka berada di kediaman mereka, dengan pemanas bila rasa sejuk dan penghawa dingin bila rasa panas,” ujarnya.

Legenda Barca itu turut mendedahkan perang moden bertujuan memaksa manusiawi untuk bersikap senyap dan tidak peduli dengan apa yang berlaku.

“Bom-bom (yang digugurkan kuasa-kuasa dunia) mahu kita melihat ke tempat lain. Kita mesti tidak mengalihkan perhatian dan mengambil bahagian (untuk menghentikannya),” tambahnya.

Guardiola melihat situasi di Palestin hampir serupa dengan situasi di Barcelona semasa Perang Saudara Sepanyol pada Mac 1938.

16 hingga 18 Mac 1938 menyaksikan bandaraya itu dibom bertubi-tubi oleh tentera udara Itali sebagai sokongan kepada tentera pro-Francisco Franco.

Ini bukan kali pertama Guardiola menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. Sebelum ini, beliau turut menggesa penyokong menghadiri aksi persahabatan antara Palestin dan Catalonia.

Claim Money Packet TnG