“Kita Tunggu & Lihat” – Hamidin
MakanBola
FA Malaysia

Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengambil sikap tunggu dan lihat membabitkan pemilihan jawatan presiden badan induk itu.

Selepas barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) termasuk Pemangku Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi meletak jawatan pada Januari lalu, kerusi panas nombor satu badan induk itu menjadi tumpuan.

Ramai figura dilaporkan berminat merebut jawatan tersebut. Antaranya bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali dan pengasas Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes.

Ada juga yang mahu figura berpengalaman seperti DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan Hamidin untuk kembali memikul jawatan berkenaan.

Apabila ditanya sama ada beliau berminat merebut jawatan Presiden FAM, Hamidin memilih bersikap tunggu dan lihat. Beliau juga berpandangan figura-figura yang lebih berkelayakan patut diberi peluang untuk merebut jawatan berkenaan.

“Saya rasa kalau kita bercerita tentang jawatan presiden, ia satu jawatan yang besar dan kita tahu bukan senang. Pernah didukung Perdana Menteri dan Sultan.

“Saya pernah ada di situ. Saya tahu dengan reformasi dan apa yang AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) tunjukkan, penting untuk Presiden dan Exco bawa benda itulah.

“Jadi, untuk jawab soalan sama ada saya nak bertanding atau tidak, saya ada dua. Pertama, ramai yang berminat. Kita mungkin bagi peluang kepada orang lain, kita tengok ramai yang minat. Ramai yang bagus kan jadi kita tunggu dan lihat,” katanya.

Hamidin membuat kenyataan itu dalam sidang media selepas Kongres Luar Biasa FAM yang diadakan pada 4 Jun lalu. Pemilihan baharu FAM dijangka berlangsung pada September ini.

Claim Money Packet TnG