Kuala Lumpur City bawa pulang kira-kira $970,000 jumlah keseluruhan hadiah bergelar naib johan Piala AFC 2022 beserta hadiah peringkat sebelumnya dan juga subsidi perjalanan.
Subsidi yang diperoleh adalah untuk perlawanan kalah mati bertemu Viettel, Mohun Bagan dan Sogdiana masing-masing di tempat lawan.
KL City juga berjaya memperoleh habuan sebanyak $100,000 selepas bergelar juara ASEAN (Zonal) menewaskan PSM Makassar 5-2 di Stadium Kuala Lumpur pada 24 Ogos lalu menjadikan jumlah keseluruhan dana yang diterima sebelum perlawanan akhir dari AFC sebanyak $220,000.
Selepas tewas kepada Al-Seeb semalam, mereka memperoleh wang hadiah sebanyak $750,000 daripada pihak AFC sebagai hadiah bergelar naib juara.
Jumlah keseluruhan wang subsidi dan hadiah kejohanan diterima KL City musim ini di Asia adalah sebanyak $970,000 (RM4.59 juta).
Walaupun tewas di perlawanan akhir, debut KL City di pentas Asia memberikan mereka banyak kelebihan dari segi pendapatan dan pemasaran kelab secara umumnya.