KL Rovers Jatuh Ke Tangan Pelabur Luar Negara
Liga M3
KL Rovers
Advertisements

Kelab Liga M3, KL Rovers menjadi pasukan pertama Liga Malaysia (Liga M) yang memiliki pemilik yang berasal dari luar negara.

Arena Metro melaporkan perkara ini disahkan sendiri oleh Pengarah KL Rovers FC Sdn Bhd, Ashraf Mazlan.

Beliau mendedahkan pemilik baru Rovers berasal dari China dan sudah menjadi sebahagian daripada pemegang saham pasukan itu.

Advertisements

“Betul, syarikat itu memiliki ibu pejabat di China tetapi mereka memiliki kilang di negara ini. Kita bekerjasama dengan mereka untuk membantu membangunkan KL Rovers.

“Mereka menunjukkan komitmen yang serius dan mahu menjadi antara pemegang saham utama pasukan ini,” katanya hari ini.

Perjanjian pengambilalihan saham KL Rovers dipercayai telah dimeterai pada 2 Februari lalu. Selepas pemeteraian itu dicapai, pasukan yang dibimbing Wan Mustaffa Wan Ismail itu telah menerima suntikan dana berjumlah RM800,000.

Advertisements

Seandainya Rovers berjaya mendapat Lesen Kebangsaan musim 2024-2025 untuk beraksi di Liga Super, pemilik baru pasukan bersedia menyuntik lebih banyak dana.

Ini bagi memastikan KL Rovers memiliki sumber kewangan yang mencukupi dan mampu memenuhi keperluan yang ditetapkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ini dilihat satu perkembangan positif buat Liga M kerana berjaya menarik perhatian pelabur asing untuk menanam modal bersama pasukan liga tersebut.

Advertisements

Sebelum ini, kesemua kelab Liga M dimiliki oleh pemilik tempatan baik secara pemilikan tunggal atau pemilikan dalam bentuk konsortium.

Antara contoh pasukan yang mempunyai pemilik tunggal ialah Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Perak FC.

JDT dimiliki sepenuhnya Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail. Manakala Perak pula dimiliki syarikat telekomunikasi terkemuka negara, XOX Berhad.

Advertisements

Sementara baki pasukan Liga M dimiliki secara konsortium menerusi perkongsian antara individu, syarikat swasta, persatuan bola sepak negeri (FA) atau dengan agensi kerajaan negeri.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram