Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) masih berteka-teki tentang tarikh pemilihan tampuk kepimpinan baru entiti berkenaan.
Ini selepas pemangku Presiden KLFA, Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid mendedahkan badan induk bola sepak Kuala Lumpur itu perlu menunggu keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlebih dahulu.
Ini kerana keputusan siasatan SPRM bakal menentukan sama ada Kongres KLFA akan dapat diadakan pada 7 September ini seperti yang dijadualkan atau tidak.
Jika SPRM mendapati wujud unsur salah laku dalam badan induk itu, maka pemilihan jawatankuasa tertinggi KLFA yang sepatutnya diadakan pada tarikh berkenaan terpaksa ditunda.
“Namun setelah dibincang dan mendapat makluman bahawa ada laporan kepada SPRM. Laporan kepada SPRM itu telah diserahkan dan dalam masa 14 hari, SPRM akan menetapkan siasatan mereka.
“Dan kalau ada kebarangkalian salah laku, maka ia (Kongres KLFA) akan ditunda pemilihan. Sekiranya tiada salah laku, maka secara automatik 7 September ialah tarikh yang ditetapkan EXCO Eksekutif KLFA ini untuk mengadakan Kongres,” katanya dalam sidang media hari ini.
Kongres KLFA kali ini menyaksikan dua Menteri Kabinet iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad dan Fahmi Fadzil bakal merebut jawatan Presiden KLFA.
Nik Nazmi dan Fahmi turut memiliki barisan pemimpin pilihan masing-masing yang akan bersaing merebut jawatan dalam jawatankuasa tertinggi KLFA.
Misalnya, jawatan Timbalan Presiden menyaksikan Syed Yazid Syed Omar yang mewakili kem Fahmi bakal berdepan cabaran Dato Azril Mat Drus dan Zahir Hassan dari kem Nik Nazmi.