Kontroversi Selubungi Faisal Halim Cup
MakanBola
Instagram/Faisal Halim

Saingan Faisal Halim Cup (FH Cup) terpalit dengan kontroversi susulan dakwaan seorang wanita di media sosial baru-baru ini.

Seorang wanita yang enggan dikenali mendakwa menjadi mangsa gangguan dan ugutan jenayah yang dilakukan sekumpulan lelaki termasuk pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim ketika saingan itu berlangsung.

Dia percaya perkara ini berlaku disebabkan tindakannya memuat naik hantaran menegur tindakan dua individu dari kem Faisal yang menjerit terhadap dua kanak-kanak berusia lapan tahun di media sosial.

Pemain sayap Selangor FC itu kemudiannya meminta hantaran tersebut dipadamkan menerusi koresponden dengan jurulatih pasukan anak ibu berkenaan. Meskipun begitu, dia menolak kerana insiden itu benar-benar berlaku dan Faisal seharusnya menjadikan itu sebagai teguran konstruktif untuk FH Cup.

Sehari selepas itu, wanita berkenaan mendakwa diganggu sekumpulan lelaki termasuk Faisal disebabkan tindakannya memuat naik insiden berkenaan di media sosial. Selain menjerit ke arahnya, mereka turut menghamburkan kata-kata kesat ke arah dia sehingga menangis dan menjejaskan kesihatannya.

Insiden itu hanya terhenti apabila lebih ramai ibu bapa pemain pada ketika itu masuk campur dan menenangkan keadaan. Ibu tersebut kemudiannya memaklumkan hasil campur tangan polis dan wakil perhubungan awam Selangor, Faisal memohon maaf atas apa yang berlaku.

Meskipun begitu, dia mendakwa masih merasa tidak selamat. Ini kerana semua akaun media sosial milik wanita berkenaan dan keluarganya didakwa telah dihalang oleh Faisal.

Lantaran itu, dia telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Batu Feringgi sebagai usaha menjamin keselamatan diri dan keluarga.

Akibat insiden itu, wanita tersebut memaklumkan dia mengalami muntah-muntah, demam dan sering merasa bimbang. Dia berharap dapat pulih dan melupakan insiden berkenaan.

Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak penganjur berhubung kontroversi berkenaan.