Korea Selatan berjaya menewaskan Iraq dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 pusingan ketiga dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Yongin Mireu, Korea.
Babak pertama perlawanan memihat kepada pasukan tuan rumah selepas Korea Selatan mendahului satu jaringan dihadapan. Gol pembukaan perlawanan itu dijaringkan Se-hun Oh pada minit ke-41 apabila memanfaatkan hantaran daripada Jun Ho Bae untuk jaringan pertama perlawanan.
Bersambung aksi di separuh masa kedua, Korea dikejutkan dengan jaringan penyamaan pasukan pelawat menerusi Aymen Hussain. Hantaran lintang daripada Amjad Attwan telah disempurnakan Aymen dengan jaringan akrobatik.
Jaringan pasukan Iraq itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila pemain gantian, Oh Hyun-gyu meledak untuk gol kedua buat Korea pada minit ke-74 permainan.
Pemain tengah Korea, Lee Jae Sung melebarkan kedudukan untuk gol ketiga skuad kendalian Myung Bo Hong selepas menerima hantaran daripada Myeong Jae Lee.
Sebelum aksi tamat, Iraq berjaya menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan menerusi Ibrahim Bayesh. Jaringan itu bagaimanapun tidak cukup untuk memberi sebarang mata buat pasukan pelawat.
Aksi tamat, Korea Selatan berjaya menewaskan Iraq di laman sendiri dengan keputusan 3-2.
Keputusan ini menyaksikan Iraq mencatat kekalahan pertama dalam saingan Kumpulan B sementara Korea Selatan pula mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam saingan pusingan ketiga kali ini.