Advertisements
Kota Rom Pun Boleh Hancur, Selangor Wajib Bangkit
Blog
MakanBola
Selangor FC

Walaupun mencatatkan kemenangan besar 7-0 ke atas Sarawak United minggu lalu, Selangor perlu akur dengan kekalahan besar 1-5 kepada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super semalam. Kekalahan besar ini menceritakan bahawa pasukan Selangor masih jauh untuk mencabar kejuaraan liga musim ini.

Selangor sudah tentu mampu berbangga dengan sejarah yang dimiliki namun mereka perlu sedar bahawa sejarah kini hanya tinggal sejarah dan mereka wajib bangkit semula dari lamunan indah. Sedangkan Kota Rom juga boleh hancur dan dibina semula inikan pula pasukan Selangor.

Walaupun masih banyak perlawanan Liga Super yang akan dilalui pasukan Selangor, namun sesuatu perlu dilakukan untuk sekurang-kurangnya mengakiri kedudukan liga di dalam kelompok empat terbaik.

Benteng Yang Rapuh

Jika diikutkan statistik, pasukan Selangor sememangnya tidak berdepan masalah dibahagian hadapan apabila mereka sudah mencetak 20 gol dalam saingan Liga Super musim ini. Jumlah gol tersebut adalah sama dengan gol yang dijaringkan oleh pasukan JDT yang kini merupakan pendahulu liga.

Namun mereka jelas bermasalah di barisan pertahanan termasuk penjaga gol. Sehingga kini mereka sudah dibolosi 14 gol walaupun baru melalui 7 perlawanan liga. Sudah terang lagi bersuluh, benteng Selangor sangat-sangat rapuh.

Adakah sudah tiba masa untuk mereka menukar pemain-pemain dibarisan pertahanan? Seperti yang diketahui Selangor mempunyai beberapa pemain yang masih belum mempunyai minit permainan yang banyak di Liga Super seperti penjaga gol, Samuel Somervile dan pemain pertahanan berbakat, Harith Haiqal.

image 1 Kota Rom Pun Boleh Hancur, Selangor Wajib Bangkit
Sam Somerville merupakan pemain baru Selangor musim ini. Kredit facebook Selangor FC.

Selepas kekalahan 1-5 kepada JDT semalam, kumpulan penyokong Selangor yang dinamakan UltraSel Curva telah memuatnaik Indeks Prestasi Utama (KPI) yang mereka sasar untuk pasukan Selangor melalui laman Instagram mereka. Mereka menganggap bolos merupakan masalah terbesar pasukan Selangor sejak musim lepas.

Gunakan Pemain Tempatan Terutamanya Bakat Muda

Untuk menjadi juara liga, tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa masih jauh dan belum nampak bayangnya. Mungkin ini masa yang terbaik untuk membangunkan pemain-pemain muda yang Selangor miliki.

Tidak semua pasukan mampu memiliki ramai pemain muda berkualiti seperti yang Selangor miliki hari ini. Namun tiada gunanya jika pemain-pemain ini tidak didedahkan kepada taraf permainan tertinggi di Malaysia iaitu Liga Super.

Nama seperti Harith Haiqal yang cemerlang bersama pasukan bawah 23 tahun Malaysia kerap kali disebut-sebut oleh para penyokong Selangor untuk membarisi barisan pertahanan skuad utama Selangor. Namun sehingga kini, Harith masih belum muncul dalam saingan Liga Super.

image 2 Kota Rom Pun Boleh Hancur, Selangor Wajib Bangkit
Harith Haiqal bersama pasukan Selangor. Kredit facebook Selangor FC

Pemain Import Yang Kurang Berkesan

Walaupun mempunyai penyerang berbisa seperti Herlison Caion namun beberapa pemain import yang lain dilihat hampir sama kualitinya dengan pemain tempatan yang Selangor miliki.

Bukan mahu menidakkan kualiti yang dimiliki pemain import yang lain, tetapi prestasi pemain-pemain import ini perlu dinilai sebaik mungkin kerana selain memiliki gaji yang tinggi, mereka juga perlu menampilkan aksi terbaik sekaligus membuktikan bahawa mereka lebih baik daripada pemain tempatan.

Penutup

Apa yang berlaku kepada pasukan Selangor ini boleh disamakan dengan apa yang terjadi kepada Manchester United. Kedua-dua pasukan ini mempunyai sejarah gemilang dengan pelbagai pencapaian yang diraih.

Tiada cara lain selain Selangor perlu bangkit segera, baiki kekurangan dan pandang ke hadapan. Perjalanan masih panjang. Jatuh bangun itu lumrah kehidupan, namun kebangkitan selepas kejatuhan itu adalah sebuah kejayaan. #MKLK