Kpah Sherman Bakal Berkelana Ke Sabah?
MakanBola
Sri Pahang FC

Khidmat bekas penyerang Sri Pahang FC, Kpah Sherman dilaporkan diintai Sabah FC.

Selepas kehilangan khidmat penyerang Brazil, Joao Pedro, pengurusan Sang Badak sibuk mencari penyerang baharu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan beliau.

Kini, wartawan sukan The Star, T. Avineshwaran memaklumkan Sabah dilaporkan mahu mendapatkan khidmat Sherman untuk musim 2025/26.

Meskipun begitu, mereka perlu segera bertindak jika mahu mendapatkan khidmat penyerang Liberia itu. Ini kerana KL City FC juga dilaporkan berminat mendapatkan Sherman.

“Kpah Sherman kini diintai dua kelab Liga Super. Kelab-kelab yang memantau khidmatnya ialah Kuala Lumpur dan Sabah,” katanya di X.

Sejak menyertai Tok Gajah pada 2023, Sherman telah membuat 55 penampilan, 25 gol dan 10 bantuan gol. Beliau turut membantu Sri Pahang layak ke final Unifi Piala Malaysia musim 2024/25.

Selain Sri Pahang, Sherman juga pernah beraksi untuk PJ City FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), PKNS FC dan Terengganu FC.

Sebelum ini, Sabah dikaitkan dengan perpindahan membabitkan Dane Ingham, Clayton da Silva dan Dean Pelekanos.