Kuching City Mahu MFL Siasat Isu Pendaftaran Pemain
MakanBola
Kuching City FC

Kuching City FC mahu Malaysian Football League (MFL) menyiasat isu pendaftaran pemain ketika perlawanan menentang Penang FC baru-baru ini.

Isu tersebut timbul selepas Kuching City didakwa menggunakan pemain yang tidak didaftarkan dalam perlawanan berkenaan.

Aksi itu menyaksikan Scott Woods masuk sebagai pemain gantian pada minit akhir permainan. Isu ini menjadi bualan penyokong kerana nama Woods tiada dalam senarai pemain simpanan The Cats.

Susulan itu, Penang kemudiannya telah mengemukakan aduan kepada MFL berhubung perkara tersebut.

Apabila diminta mengulas isu tersebut, Presiden Kuching City, Dato Fazzrudin Abdul Rahman mahu MFL menyiasat isu ini dengan teliti.

Pasukan itu juga telah memberi kerjasama dengan pengelola liga itu termasuk mengemukakan kronologi keseluruhan insiden berkenaan.

“Kita telah membuat kenyataan dan memperjelas kronologi serta memohon MFL untuk menyiasat berdasarkan permohonan yang dikemukakan,” katanya seperti dilaporkan TVS.

Fazzrudin turut menyatakan kes Kuching City hampir serupa dengan dua kes sebelumnya yang terjadi akibat kesilapan teknikal pegawai perlawanan.

Justeru, beliau berharap MFL meneliti situasi yang dinyatakan dan memberi penyelesaian yang baik untuk kes berkenaan.

“Dalam kedua-dua kes itu, permohonan telah diterima. Jadi kita akan terus memperjuangkan perkara ini berdasarkan peraturan sedia ada,” tambahnya.

Fazzrudin ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri N6 Tupong yang diadakan di Dewan Hikmah Petra Jaya baru-baru ini.