Jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann menganggap saingan Kumpulan E di Piala Asia 2023 adalah yang paling sukar dihadapi.
Selain Korea Selatan, Kumpulan E juga menyenaraikan tiga lagi pasukan hebat iaitu Bahrain, Jordan dan juga Malaysia.
Kata-kata Klinsmann itu telah dibuktikan apabila dua pasukan dari Kumpulan E iaitu Korea Selatan dan Jordan mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir kejohanan.
“Ia adalah satu lagi drama. Dalam perlawanan yang sangat sukar menentang Australia (di suku akhir), kami mara ke separuh akhir. Saya sangat bangga.
“Kadang-kadang saya rasa prestasi saya bertambah baik hanya apabila saya ketinggalan 0-1. Saya sangat gembira kerana berjaya mara ke separuh akhir. Jordan sangat kuat. Kumpulan E kami adalah kumpulan yang sangat sukar. 2 pasukan mara ke separuh akhir,” jelas Klinsmann seperti dilaporkan Sport Chosun.
Korea Selatan mara ke separuh akhir selepas menewaskan Australia dengan keputusan 2-1. Manakala Jordan pula mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menang tipis 1-0 ke atas Tajikistan.
Jordan dan Korea Selatan akan bertemu di separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 6 Februari manakala satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan tuan rumah, Qatar yang akan berdepan Iran pada 7 Februari.
Pertemuan Jordan dan Korea Selatan di peringkat kumpulan berakhir dengan keputusan terikat 2-2 yang mana menyaksikan Korea Selatan hampir ditewaskan sebelum gol sendiri Yazan Al-Arab menyelamatkan mereka dari kekalahan.