Kapten Perancis, Kylian Mbappe merasakan dirinya lebih baik daripada legenda negara itu, Michel Platini.
Ini selepas penyerang utama Real Madrid itu diminta meletakkan legenda-legenda Piala Dunia dalam senarai enam pemain teratas oleh pempengaruh terkenal, Finn Agostinelli..
Lima legenda yang dimaksudkan selain Mbappe ialah Lionel Messi, Pele, Zinedine Zidane, Diego Maradona dan Platini. Pada awalnya, beliau meletakkan Platini di tangga kelima di belakang Zidane.
Pele pula menjadi pilihan utama Mbappe kerana merangkul dua trofi Piala Dunia. Beliau diekori Messi yang juga bekas rakan sepasukan Mbappe semasa beraksi untuk Paris Saint-Germain (PSG).
Maradona pula melengkapkan senarai tiga pemain teratas pilihan Mbappe. Apabila ditanya tentang kedudukan dirinya, beliau memilih nombor lima sekaligus meletakkan Platini di kedudukan keenam.
Apabila ditanya sebab meletakkan Platini di kedudukan terakhir, Mbappe secara berseloroh mengatakan dirinya lebih baik daripada bekas presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) itu.
Platini membantu Perancis meraih tempat ketiga Piala Dunia 1986 dan Kejohanan Bola Sepak Eropah (EURO) 1984. Beliau kemudiannya menjadi Presiden UEFA pada 2007 sebelum disabitkan atas kesalahan rasuah membabitkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Selepas dibebaskan daripada tuduhan itu pada 2025, Platini kini mengemukakan dakwaan jenayah terhadap Presiden FIFA, Gianni Infantino baru-baru ini.