Advertisements
Barcelona Intai Khidmat Aymeric Laporte
La Liga
MakanBola
Getty Images

Selepas berjaya mendapatkan Ferran Torres dengan harga 55 juta euro (RM260.16 juta), nampaknya Barcelona enggan berhenti mendapatkan pemain Manchester City. Kini, wujud khabar angin kelab berpangkalan di Nou Camp itu sedang mengintai bek tengah Sepanyol, Aymeric Laporte.

Sebelum ini, pemain pertahanan berdarah Basque itu merasa tidak gembira kerana dipintas John Stone sebagai bek tengah utama Citizens. Disebabkan situasi itu, Laporte dikatakan sedang mencari peluang untuk meninggalkan Stadium Etihad ketika itu. Tetapi pada musim ini, posisi tersebut berjaya direbut beliau untuk separuh pertama kempen EPL.

Tetapi jika Barca berfikir boleh mendapatkan Laporte dengan yuran perpindahan rendah, mereka tersilap sama sekali. Ini kerana bekas bek tengah Athletic Bilbao itu mempunyai baki kontrak sehingga 2025 selepas memeterai kontrak baru pada 2019. Justeru, presiden Barca Joan Laporta harus bersedia membawa yuran perpindahan besar bagi memujuk City menjual pemain berkenaan. Jika City bersedia menjual sekalipun, waktu terbaik mendapatkannya ialah jendela perpindahan musim panas pada akhir musim.

Sekiranya berjaya, Blaugrana berharap dapat menggandingkan Laporte dengan bek tengah muda Eric Garcia. Ironinya, Garcia merupakan graduan akademi City yang berpindah ke Nou Camp musim ini. Dengan membawa masuk Laporte, ini membantu kelab membuat perancangan jangka panjang tanpa kelibat Gerard Pique yang semakin menghampiri penghujung karier.

Sejak menyertai Citizens dari San Mames pada Januari 2018, bek tengah Sepanyol itu telah membuat 123 penampilan dan menjulang tujuh piala termasuk EPL musim lepas. Sebelum ini, Laporte beraksi bersama Perancis sebelum memilih bertukar pasukan kebangsaan pada 2021. Sejak itu, beliau menjadi tonggak utama pertahanan Sepanyol dan mencatat 14 penampilan antarabangsa.

Related Articles