Aksi menghiburkan di antara jaguh negara, Lee Zii Jia dan bintang Denmark, Viktor Axelsen telah mendapat perhatian Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Selasa lalu, Lee Zii Jia dan Viktor Axelsen turun ke gelanggang sebagai perseorangan pertama dalam aksi peringkat kumpulan D Thomas Cup yang menemukan Malaysia dan Denmark.
Dalam aksi itu, Lee Zii Jia terpaksa akur tunduk di tangan pemain nombor satu dunia tersebut dengan keputusan 16-21, 22-24 meskipun tampil dengan semangat juang yang tinggi.
Setelah perlawanan tamat, ramai peminat badminton tidak kira tempatan mahupun antarabangsa memuji aksi yang ditampilkan oleh kedua-dua pemain yang membuatkan para penonton tidak senang duduk menyaksikannya.
Aksi penuh menghiburkan ini turut mendapat perhatian badan induk badminton dunia iaitu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang kagum melihat persembahan yang ditampilkan oleh Zii Jia dan Axelsen.
Satu hantaran yang dimuatnaik oleh BWF menyaksikan pertemuan Zii Jia dan Axelsen ini dikategorikan sebagai ‘Performance of The Day’ apabila beberapa mata yang dikutip oleh kedua-dua pemain hasil pukulan mengelirukan dan permainan jaring mengagumkan.
Walaupun keputusan keseluruhan menyaksikan skuad negara tumpas 2-3 di tangan Denmark, namun pasukan negara tetap akan melayakkan diri ke pusingan kalah mati sebagai naib juara kumpulan D.
Dua mata yang diperoleh skuad kebangsaan disumbangkan oleh dua beregu utama negara iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin-Goh Sze Fei yang menundukkan lawan masing-masing.
Aksi suku akhir Thomas Cup bakal menemukan Malaysia dan Jepun pada Khamis dengan perlawanan bakal bermula jam 5.00 petang manakala Denmark akan menentang Chinese Taipei pada Jumaat.