Leicester City & Leeds United Tersingkir Dari EPL
EPL
Leeds United & Leicester City
Advertisements

Dengan Manchester City sah bergelar juara Liga Perdana Inggeris (EPL), ramai ingin tahu siapa pula yang bakal tersingkir dari EPL musim ini. Hari ini, persoalan itu terjawab dengan Leicester City dan Leeds United menyertai Southampton ke Liga Kejohanan musim hadapan.

Southampton sudah tersingkir lebih awal selepas tewas kepada Fulham pada 14 Mei lepas. Dengan dua slot penyingkiran masih terbuka, tumpuan kemudiannya terarah kepada Everton, Leeds dan Leicester.

Everton memasuki perlawanan terakhir musim dengan sedikit kelebihan selepas seri 1-1 dengan Wolves minggu lepas. Dengan kelebihan 33 mata, anak-anak buah Sean Dyche perlu meraih kemenangan ke atas Bournemouth di Goodison Park bagi memastikan mereka kekal dalam EPL untuk semusim lagi.

Advertisements

Leicester pula mengharapkan Toffees seri atau kalah dengan mereka menang di Stadium King Power ke atas West Ham. Jika Everton seri dan Leeds menang, ketiga-tiga pasukan berkongsi 34 mata tetapi Foxes terselamat atas sebab perbezaan jaringan.

Leeds pula berdepan tugas paling sukar iaitu menentang Tottenham Hotspur di Elland Road. Mereka bukan saja perlu menang tetapi berharap Everton dan Leicester kalah bagi menjamin peluang mereka kekal dalam EPL.

Malangnya, itu tidak berlaku kepada anak-anak buah Sam Allardyce. Whites tunduk 4-1 kepada Spurs dengan penyerang utama England, Harry Kane meledakkan dua gol bagi merekodkan 30 golnya musim ini.

Advertisements

Foxes yang mendapat sorakan penyokong setia di King Power pula meraih kemenangan 2-1 ke atas West Ham. Begitupun, itu masih tidak mencukupi lebih-lebih lagi selepas Abdoulaye Doucoure meledakkan gol kemenangan Toffees ke atas Cherries pada minit ke-57.

Sebarang harapan untuk melihat Everton kecundang tidak kesampaian. Ini ditambah dengan kecekapan luar biasa yang ditampilkan penjaga gol England, Jordan Pickford bagi memastikan Toffees tidak dibolosi untuk perlawanan terakhir liga musim ini.

Dua keputusan ini sudah cukup memastikan Leeds dan Leicester menyertai Southampton di Liga Kejohanan musim hadapan. Sementara bagi Everton pula, kemenangan tersebut bukan saja mengekalkan mereka dalam EPL musim ini.

Advertisements

Malah, ia sedikit sebanyak membantu mereka dari segi kewangan terutama pembinaan stadium baru di Bramley-Moore Dock. Selain itu, ini juga bakal memudahkan mana-mana entiti yang berminat untuk mengambil alih pemilikan Everton selepas mengetahui status liga mereka musim akan datang.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram