Aksi terbaru Liga A1 Semi-Pro antara KL Rovers FC dan Melaka FC pada Ahad terpaksa ditangguhkan.
Melaka berharap dapat merampas kembali takhta liga daripada PT Athletic FC sekiranya meraih kemenangan. Manakala KL Rovers pula mahu merapatkan jurang dengan Melaka dan Imigresen FC kepada satu mata.
Pemenang Kasut Emas musim 2023, Abdul Azim Rahim mengetuai jentera serangan Melaka. Manakala khidmat Rafie Mat Yaacob ditagih untuk merobek gawang pelawat.
Aksi yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kemudiannya ditangguhkan pada minit ke-24 oleh pengadil, Mohd Ridhwan Abd Rahman atas alasan keselamatan.
Ini disebabkan cuaca hujan lebat yang melanda ketika itu. Keadaan ini menyebabkan padang Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur digenangi air.
Selepas memantau keadaan cuaca dan padang selama lebih sejam, perlawanan KL Rovers-Melaka terpaksa ditangguhkan atas sebab cuaca dan padang yang tidak mengizinkan. Perkara ini turut dikongsikan Melaka di platform media sosial rasmi mereka.
Satu tarikh baru perlawanan akan diumumkan kelak dengan perlawanan akan disambung bermula dari minit perlawanan dihentikan.