Liga A1: Aksi Tegang, Tindakan Pantas Junior Eldstal Raih Pujian
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Junior Eldstal mencuri perhatian dalam satu situasi tegang pada aksi Liga A1 yang menemukan JDT II dan Bunga Raya FC pada Isnin.

JDT II yang memenangi perlawanan dengan keputusan 2-0 walau bagaimanapun tercalit dengan sedikit insiden yang hampir mencetuskan pergaduhan di penghujung perlawanan.

Selaku ketua pasukan JDT II, Junior Eldtsal pantas menenangkan pemain kedua-dua pasukan sebelum keadaan menjadi lebih tegang.

Dalam satu video tular yang dikongsikan oleh No Context Bola Malaysia di laman X, memaparkan salah seorang pemain JDT II dilihat cuba didekati oleh beberapa pemain Bunga Raya namun telah dihalang lebih awal oleh Junior.

Situasi tegang itu berlarutan sehingga ke luar padang apabila pemain JDT II yang terlibat itu turut cuba didekati pegawai pasukan Bunga Raya dan sekali lagi Junior memainkan peranan penting mententeramkan keadaan.

Tindakan yang dilakukan Junior itu telah meraih pujian para peminat bola sepak tempatan yang melihat sifat kepimpinan Junior di atas padang sebagai ketua pasukan.

Dengan kemenangan 2-0 itu menyaksikan JDT II terus bersaing di puncak Liga A1 dengan mengumpul 58 mata dan dihimpit rapat oleh pasukan Selangor FC II yang turut mengumpul mata yang sama di kedudukan kedua.