Advertising
Liga A1: BR Damansara Kecundang Lagi, Kali Ini Kepada KL Rovers
MakanBola
KL Rovers FC

KL Rovers FC kembali merampas tempat keempat Liga A1 Semi-Pro daripada PIB Shah Alam FC apabila menewaskan Bunga Raya Damansara (BR Damansara) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

BR Damansara berharap dapat bangkit semula selepas tewas kepada PIB Shah Alam pada 11 Ogos lalu. Manakala KL Rovers mahu mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan selepas mengikat Imigresen FC tanpa jaringan pada 4 Ogos lalu.

Sebaik separuh masa pertama bermula, KL Rovers yang dibimbing Wan Mustaffa Wan Ismail berusaha mendapatkan gol awal.

Ad

Pasukan itu mendahului seawal minit kedua menerusi tandukan pemain pertahanan, Muhammad Faris Zabri. Tandukan Faris gagal disekat Raja Imran Shah Raja Amin sebelum menerjah jaring BR Damansara.

Ad

Tersentak, BR Damansara mula menggandakan serangan untuk mendapatkan gol penyamaan. Bekas penyerang kebangsaan, R. Kogileswaran hampir menyamakan kedudukan menerusi percubaan dari luar kotak penalti pada minit ke-11.

Malangnya, percubaan bekas pemain Chungbuk Cheongju itu hanya melepasi bahagian tepi gawang tuan rumah yang dikawal Asyraaf Omar.

Ad
Ad

BR Damansara bernasib baik gawang mereka tidak bocor lagi buat kali kedua pada minit ke-43. Rafie Mat Yaacob menyangka telah menambah kelebihan KL Rovers tetapi usahanya tidak berhasil.

Ad

KL Rovers berusaha mencari gol kedua perlawanan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

View this post on Instagram

A post shared by Kuala Lumpur Rovers FC (@klrovers)

Bersambung selepas rehat, tuan rumah terus berusaha menggandakan kelebihan yang dimiliki mereka.

Sebaik mengesan M. Satthyvel berada di luar garisan gol, Amirul Ashraf Ariffin melambungkan bola dari bahagian tengah padang yang menerjah jaring BR Damansara pada minit ke-47.

BR Damansara hampir merapatkan jurang menerusi percubaan dari luar kotak penalti Muhammad Aris Mohd Aris pada minit ke-58. Malangnya, percubaan pemain berusia 24 tahun itu ditepis Asyraaf.

Sebaliknya, gawang mereka dibolosi buat kali ketiga menerusi Faris pada minit ke-67. Ini menjadikan Faris berkongsi penjaring ketiga terbanyak KL Rovers bersama Fakrul Aiman Sidid dan Muhammad Faiz Mazlan dengan dua gol.

BR Damansara berusaha merapatkan jurang gol dengan KL Rovers tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan KL Rovers merampas kedudukan keempat daripada PIB Shah Alam. Manakala BR Damansara pula kekal di tempat keenam liga.

Selepas ini, BR Damansara bakal berdepan Bukit Tambun FC di Stadium UiTM pada 24 Ogos. Manakala KL Rovers pula bakal menentang pendahulu liga, Melaka FC pada 25 Ogos.