Impian Harini Selangor FT untuk meraih mata pertama dalam saingan Liga A1 berkecai apabila tewas 1-2 di tangan Armed Forces FC.
Harini FT masih mencari kemenangan pertama dalam kempen liga setelah merekodkan 2 keputusan seri serta 5 kekalahan dalam 7 perlawanan.
Armed Forces pula mahu bangkit daripada kekecewaan lalu setelah tewas 1-3 kepada PIB Shah Alam sewaktu berkunjung ke Stadium USIM, Nilai tempoh hari.
Armed Forces yang dikendalikan oleh Alif Mohd Daud mempamerkan aksi bertenaga pada babak pertama permainan apabila meraih gol pertama hasil jaringan Max Fareezan.
Harini FT melakukan beberapa pertukaran pemain pada babak kedua bagi mencipta kelainan dalam mendapatkan gol penyamaan.
Beberapa siri serangan berjaya dilancarkan kedua-dua belah pasukan dan sekali lagi Armed Forces berjaya membolosi gawang gol Harini Ft pada minit ke-69.
Shahrul Aznei mencipta nama selaku penjaring untuk meletakkan Armed Forces 2-0 dihadapan Harini FT.
Harini FT cuba untuk bangkit menerusi jaringan Praviin pada minit ke-80 namun terlambat untuk meraih gol penyamaan.
Perlawanan tamat dengan kemenangan berpihak kepada Armed Forces ke atas Harini FT dengan jaringan 2-1.
Armed Forces kini berada di tangga ke-9 liga dengan mengumpul 8 mata hasil 2 kemenangan, 2 seri dan 4 kekalahanan.
Kekalahan Harini FT merupakan kekalahan ke-6 pasukan tersebut dalam saingan Liga A1 sekaligus kekal berada di tangga terakhir liga.