Liga A1: JDT Dipaksa Bekerja Keras Atasi Selangor
MakanBola
JOHOR SOUTHERN TIGERS

JDT II menumpaskan pasukan tuan rumah, Selangor II dengan keputusan 0-1 dalam aksi minggu ke-15 saingan Liga A1 semi-pro musim 2025/26 di Stadium Majlis Perbandaran Sepang pada Isnin.

Selangor II membariskan Azim Al Amin di bahagian penjaga gol dan Adam Haikal menggalas lilitan kapten dengan Rahman Daud mengemudi jentera serangan pasukan.

Sementara itu, JDT II menurunkan Zulhilmi Sharani di benteng terakhir dan Daryl Sham sebagai ayam tambatan Harimau Selatan bagi aksi ini.

The Red Giants hampir membuka tirai jaringan menerusi gerakan awal Harry Danish, namun hasrat itu lebur apabila Faris Danish muncul tenang menyekat ancaman tersebut di luar kawasan kotak penalti JDT II.

Pada minit ke-18, Muhammad Abu Khalil hampir menghadiahkan gol pembukaan buat Selangor II menerusi sepakan percuma berbahaya, namun rembatan kencangnya sekadar melewati gawang JDT II.

Celso Bermejo hampir menghadiahkan gol pembukaan buat JDT II selepas menerima umpanan menarik Syukur Fariz, namun tandukan bebasnya di dalam kotak penalti Selangor II sedikit tersasar dari sasaran pada minit ke-27.

Memasuki minit ke-35, kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat 0-0.

Bersambung babak kedua, JDT II terus melancarkan serangan berbahaya dan berjaya mendapatkan sepakan percuma seawal minit ke-46.

JDT II membuka akaun jaringan pada minit ke-48 menerusi Celso Bermejo yang menyudahkan sepakan percuma cantik daripada Alif Mutalib.

Selangor II meningkatkan intensiti permainan dalam tempoh 10 minit berikutnya bagi mencari gol penyamaan, namun usaha mereka tidak berhasil menembusi pertahanan lawan yang tersusun dengan kemas.

The Red Giants tampak terus menerus menekan pasukan lawan menerusi Rahman Daud namun masih gagal menembusi jaring JDT II.

Aksi di Stadium Majlis Perbandaran Sepang tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, JDT II.

Pasukan Selangor II mencatat kekalahan pertama mereka musim ini dalam saingan Liga A1 semi-pro, manakala JDT II meraih kemenangan kesepuluh mereka dalam liga.

Namun, Selangor II terus menguasai puncak Liga A1 semi-pro dengan 36 mata, diikuti rapat oleh JDT II yang menduduki tangga kedua dengan 33 mata.