Liga A1: JDT II Bangkit Saat Akhir Tumpaskan Selangor II
MakanBola
Johor Southern TIgers

Perebutan takhta Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 semakin hangat apabila pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) bangkit dengan penuh dramatik sebelum menundukkan Selangor FC II (SFC II) 3-2 dalam aksi penuh intensiti di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

JDT II yang dibimbing oleh Josep Ferré tampil dengan barisan berpengalaman apabila menurunkan beberapa nama besar seperti Mohamadou Sumareh, Junior Eldstal dan penyerang import, Ajdin Mujagic.Sebaliknya, SFC II memilih untuk mempertaruhkan sepenuhnya barisan pemain muda dalam misi membawa pulang mata berharga di gelanggang lawan.

Perlawanan bermula dengan JDT II menguasai permainan menerusi corak hantaran pendek yang kemas dan tersusun, sekali gus memaksa SFC II lebih banyak bertahan sambil menanti peluang melancarkan serangan balas.

JDT II tidak perlu menunggu lama apabila seawal minit ke-7, Mohamadou Sumareh meledak gol pembukaan menerusi tandukan melencong yang berjaya mengelirukan penjaga gol SFC II, Hazriq Haqqim.

Selang lima minit kemudian, Nazmi Faiz hampir menambah jaringan buat JDT II menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti, namun percubaannya sedikit tersasar daripada sasaran.

Hazriq Haqqim yang terus bekerja keras mengawal gawang SFC II sekali lagi tampil cemerlang apabila berjaya menepis keluar rembatan voli berbahaya daripada Ajdin Mujagic pada minit ke-26.

Ketika aksi separuh masa pertama hampir melabuhkan tirainya, SFC II akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Haykal Danish, sekali gus memastikan kedua-dua pasukan menutup babak pertama dengan keputusan terikat 1-1.

Bersambung ke babak kedua, JDT II terus mengawal rentak permainan dengan penguasaan bola yang kemas, manakala SFC II pula tampil lebih agresif dengan meningkatkan tekanan ke atas pemain lawan.

Celso Bermejo hampir meletakkan Johor Darul Ta’zim II di depan pada minit ke-68, namun peluang keemasan itu disia-siakan apabila rembatan yang dilepaskan agak lemah dan mudah diselamatkan oleh Hazriq Haqqim.

SFC II akhirnya berjaya mengubah kedudukan menjadi 2-1 apabila menerusi Adam Haikal pada minit ke-82.

Kedudukan itu tidak kekal lama apabila Syamer Kutty menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-88 untuk kembali mengikat kedudukan.

Ajdin Mujagic menjadi wira JDT II apabila meledak jaringan kemenangan untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 3-2.

Kemenangan ini membolehkan JDT II menjarakkan kedudukan mata dengan perbezaan 3 mata meninggalkan SFC II di tangga kedua liga yang kini berbaki dua lagi perlawanan.