Johor Darul Ta’zim (JDT) II terus menghambat pendahulu Liga A1 Semi-Pro, Selangor FC II dengan membelasah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 6-0 di Stadium Pasir Gudang.
JDT II sedar hanya kemenangan saja yang membolehkan salah satu daripadanya merapatkan jurang mata dengan Selangor II. Ini kerana Selangor II terus bertakhta di persada liga dengan 52 mata.
Celso Bermejo terus menjadi sandaran gol JDT II. Hazrief Balqief Mohammad Zulhadi mengetuai cabaran anak buah Azzmi Aziz.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit keempat menerusi Danish Hakimi Sahaludin.
Pemain tengah Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) itu kemudiannya menggandakan kelebihan JDT II pada minit ke-26.
Miguel Angel Cuesta yang pernah beraksi untuk skuad remaja Real Mallorca kemudiannya meledakkan gol ketiga buat tuan rumah enam minit selepas itu.
Rafiefikri Osman menambah derita Kedah DA dengan menyumbat gol keempat pada minit ke-38. Naim Zainudin melengkapkan malam gemilang JDT II dengan dua gol pada babak kedua.
Keputusan ini menyaksikan JDT II dan Selangor II kini berkongsi 52 mata. Meskipun begitu, Selangor II mendahului liga dari segi kelebihan gol.
Selepas ini, JDT II akan menentang Bunga Raya FC di Tampin pada 4 Mei ini.