JDT II berjaya bangkit selepas kekalahan kepada Kedah FA minggu lalu dengan menumpaskan Perlis GSA 6-1 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang pada Isnin.
Pasukan tuan rumah, JDT II menurunkan Zulhilmi Sharani di benteng terakhir dan Daryl Sham menggalas lilitan kapten manakala Celso Bermejo mengemudi jentera serangan.
Sementara itu, Perlis GSA membariskan Kamarul Hilmi sebagai penjaga gol dan Haziq Muiz mengetuai kesebelasan utama pasukan tersebut.
JDT II tidak menunggu lama untuk membuka akaun jaringan perlawanan menerusi Celso Bermejo pada minit ke-4 menerusi sepakan penalti sekali gus mendahului perlawanan.
Perlis GSA turut melakukan percubaan berbahaya ke arah gawang JDT II namun ketangkasan penjaga gol, Zulhilmi Sharani harus diberi pujian.
JDT II meledak gol kedua aksi pada minit ke-32 hasil tandukan tajam dalam kawasan kotak penalti oleh Miguel Angel Cuesta.
JDT II terus menerus menguasai perlawanan separuh masa pertama namun tiada jaringan tambahan ditemui.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, JDT II.
Bersambung babak kedua perlawanan, JDT II terus meningkatkan intensiti permainan bagi mencari gol tambahan.
Harimau Selatan terus menerus mengasak kubu pasukan Perlis GSA di hadapan penyokong-penyokong sendiri.
Celso Bermejo merobek gawang Perlis GSA buat kali kedua pada minit ke-50 hasil bantuan jaringan cantik oleh Danish Hakimi.
Alif Mutalib menambah derita kelab Perlis GSA dengan menjaringkan gol keempat JDT II pada minit ke-55 hasil assist kapten pasukan, Daryl Sham.
Celso Bermejo melengkapkan hatriknya melalui sepakan penalti pada minit ke-67, sekali gus memastikan penjaga gol Perlis GSA tewas buat kali kelima.
Shukor Azmi berjaya mendapatkan gol saguhati buat Perlis GSA pada minit ke-70 menerusi sepakan penalti selepas Miguel Cuesta mengasari beliau.
Celso Bermejo merobek gawang Perlis GSA buat kali keempat pada minit ke-86 menerusi rembatan kencang kaki kiri dalam kawasan kotak penalti lawan.
Aksi tamat dengan keputusan 6-1 memihak kepada pasukan tuan rumah, JDT II.