Kedah FA menumpaskan pasukan JDT II dengan keputusan 1-0 dalam aksi minggu ke-18 saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/26 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Isnin.
Kedah FA membariskan Rajendran di bahagian penjaga gol dan Pape Diakite menggalas lilitan kapten dengan Nabil Latpi mengemudi jentera serangan pasukan.
Sementara itu, JDT II menurunkan Zulhilmi Sharani di benteng terakhir dan Celso Bermejo sebagai ayam tambatan Harimau Selatan bagi aksi ini.
Harimau Selatan hampir membuka tirai jaringan menerusi gerakan awal Celso Bermejo, namun hasrat itu lebur apabila Pape Diakite muncul tenang menyekat ancaman tersebut dalam kawasan kotak penalti Kedah FA.
Pada minit ke-17, Rahmat Makasuf meledak gol pembukaan buat Kedah FA menerusi ledakan berbisa sekali gus memberikan kelegaan kepada kem pasukan beliau.
Celso Bermejo hampir menghadiahkan gol pembukaan buat JDT II selepas menerima umpanan menarik Miquel Cuesta namun percubaan beliau sedikit tersasar dari gawang pasukan Kedah FA.
Memasuki minit ke-35, kedudukan masih didahului oleh pasukan Kedah FA dengan satu jaringan.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Kedah FA.
Bersambung babak kedua, JDT II terus melancarkan serangan berbahaya bagi mencari gol penyamaan aksi selepas ketinggalan satu jaringan pada separuh masa pertama.
JDT II meningkatkan intensiti permainan dalam tempoh 10 minit berikutnya bagi mencari gol penyamaan, namun usaha mereka tidak berhasil menembusi pertahanan lawan yang tersusun dengan kemas.
Harimau Selatan tampak terus menerus menekan pasukan lawan menerusi Daryl Sham namun masih gagal menembusi jaring Kedah FA.
Memasuki minit ke-70 kedudukan masih didahului oleh pasukan tuan rumah, Kedah FA dengan satu gol.
Danish Syamer dilayangkan kad merah pada penghujung separuh masa kedua selepas mengasari kapten pasukan Kedah FA, Pape Diakite.
JDT II tampak melepaskan beberapa percubaan berbahaya ke kubu Kedah FA pada masa kecederaan babak kedua namun ketangkasan penjaga gol, Rajendran harus diberi pujian selepas berjaya menepis segala bentuk serangan.
Aksi di Stadium Darul Aman tamat dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Kedah FA.
Kemenangan ini menyaksikan Kedah FA melonjak ke kedudukan ketiga liga dengan mengumpul 35 mata selepas 18 perlawanan, sekali gus memintas Kelantan RW.
Sementara itu, JDT II kekal di tangga kedua liga dengan 36 mata selepas 17 perlawanan, di belakang pasukan Selangor II.