Liga A1: Kelantan RW Bergaya Tewaskan Manjung City
MakanBola
Kelantan Red Warrior FC

Empat gol sudah cukup membantu Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) menewaskan Manjung City FC di Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), Kota Bharu.

Anak buah Irfan Bakti memerlukan kemenangan agar dapat terus menghambat kelompok lima pasukan terbaik Liga A1.

Penjaring terbanyak liga, Emmanuel Mbarga mengetuai jentera serangan Kelantan RW. Bekas pemain import PDRM FC, Jacque Faye menjadi sandaran gol Manjung City.

Separuh masa pertama menyaksikan Kelantan RW berusaha mencari gol sambil dibantu sorakan padu penyokong di SSMIV.

Tuan rumah akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-36 menerusi bekas bek tengah Kuching City FC, Arham Khussyairi Ab Wahab.

Gawang Manjung City yang dikawal Nasrullah Abdul Aziz bocor buat kali kedua dua minit selepas itu. Pemain import baharu Kelantan RW, Philip Dandada Musa mencetak nama sebagai penjaring.

Pelawat makin derita apabila Kelantan RW dianugerahkan sepakan penalti pada minit akhir babak pertama. Zuasyraf Zulkefle memastikan tuan rumah mendahului 3-0 sehingga rehat menerusi penalti berkenaan.

Bersambung pada babak kedua, Manjung City yang dibimbing bekas pemain tengah kebangsaan, K. Nanthakumar cuba bangkit mengurangkan defisit gol.

Malangnya, kebangkitan yang dicari tidak berlaku. Sebaliknya, Mbarga mencetak gol ke-25 beliau musim ini pada minit ke-82.

Kelantan RW terus berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan tuan rumah memintas kelab senegeri, Kelantan WTS FC di tangga keenam liga dengan 41 mata.

Selepas ini, Kelantan RW akan menentang Armed Forces FC pada 25 April. Manjung City pula akan menentang Malaysian University FT (MUFT) sehari selepas itu.