Advertising
Liga A1: KL Rovers ‘Rantai’ Imigresen
MakanBola
KL Rovers

Impian juara Liga A1 Semi Pro musim 2023, Imigresen FC untuk melebarkan kemenangan terbantut apabila sekadar seri dengan wakil Lembah Klang, KL Rovers FC dalam aksi terbaru liga.

Imigresen mahu melebarkan rekod kemenangan selepas menewaskan Bukit Tambun FC 2-1. Sementara KL Rovers pula mahu kembali meraih kemenangan selepas diikat 2-2 oleh Malaysian University FT (MUFT).

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan Imigresen berusaha mendapatkan kelebihan gol awal di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menerusi penjaring terbanyak mereka, ThankGod Michael Ogwuche.

Ad

Kelibat penyerang Nigeria itu yang meledakkan lapan gol untuk musim 2024/25 memaksa barisan pertahanan KL Rovers berusaha menyekat pergerakannya.

KL Rovers selaku tuan rumah berusaha mencari kelebihan gol menerusi trio penyerang, Rafie Mat Yaacob, Zainul Arifin Ahmad Latifi dan Sharul Amin Nasharuddin tetapi tidak berhasil.

Ad

Ketumpulan serangan kedua-dua pasukan menyaksikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Ad

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha mencari peluang untuk memecah kebuntuan perlawanan.

Ad

Imigresen menyangka mereka mendapat sepakan penalti apabila penjaga gol KL Rovers, Asyraaf Omar menjatuhkan Furqan Azri dalam kotak penalti pada minit ke-54. Malangnya, rayuan mereka tidak dilayan pengadil, Muhammad Radzi Asari.

The Mighty Tigers hampir mendahului menerusi sepakan percuma Hafiz Kamal pada minit ke-60 tetapi berjaya ditepis Asyraaf.

Pengendali KL Rovers, Wan Mustaffa Wan Ismail membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat mencuri tiga mata daripada Imigresen.

Malangnya, ketumpulan jentera serangan memastikan Imigresen dan KL Rovers berkongsi satu mata pada akhir perlawanan. Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing kekal di tangga pertama dan ketiga liga selepas lapan perlawanan.

Selepas ini, KL Rovers akan menentang Gombak untuk aksi liga seterusnya pada 11 Ogos. Sementara The Mighty Tigers berehat kerana tiada jadual perlawanan membabitkan mereka pada hari perlawanan minggu kesembilan.