Melaka meneruskan rekod tanpa kalah mereka dalam Liga A1 Semi Pro dengan menewaskan Bukit Tambun FC di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan dalam aksi ketiga liga.
Selepas diikat tanpa jaringan oleh Gombak FC pada 8 Jun lalu, Melaka yang dibimbing K. Devan berharap dapat bangkit melakar kemenangan. Sementara Bukit Tambun pula bersemangat memburu kemenangan selepas tewas dua perlawanan sebelumnya.
Penjaring terbanyak liga musim 2023, Abdul Azim Rahim mengetuai cabaran Melaka. Sementara Rafiuddin Roddin mengetuai cabaran Bukit Tambun.
Babak pertama menyaksikan Melaka kerap melancarkan serangan menerusi gandingan Azim dan pemain import Ghana, Fuseini Issah.
Situasi ini memaksa penjaga gol Bukit Tambun, Nasrullah Abdul Aziz terpaksa bekerja keras untuk menafikan asakan pelawat.
Kesungguhan Melaka memburu gol akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-25. Pemain tengah Royizzat Daud menceriakan penyokong pelawat dengan gol pertama pasukan itu.
Tersentak, Bukit Tambun yang dibimbing Hasbul Hazani Daud berusaha memburu gol penyamaan. Barisan pertahanan Melaka memastikan keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Melaka terus memberi tekanan kepada Bukit Tambun untuk menggandakan kelebihan mereka.
Keadaan ini memaksa Hasbul Hazani membuat beberapa pertukaran pemain dengan harapan dapat mengubah momentum kembali memihak kepada Bukit Tambun.
Manakala Devan turut membuat beberapa pertukaran pemain untuk menambah sengat di bahagian serangan Melaka.
Melaka terus berusaha menambah kelebihan gol tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Melaka memintas Bunga Raya Damansara (BR Damansara) di tempat kedua liga dengan tujuh mata. Sementara Bukit Tambun pula kekal berada dalam kelompok tiga tercorot liga.
Selepas ini, Melaka akan menentang Manjung City pada 29 Jun. Manakala Bukit Tambun pula berharap dapat bangkit bila menentang PIB Shah Alam pada 29 Jun.