Selepas minggu hari perlawanan kesembilan, saingan Liga A1 Semi-Pro menyaksikan persaingan semakin sengit untuk memburu kedudukan empat pasukan teratas liga.
Dengan pendahulu liga, Imigresen FC dan KL Rovers tidak beraksi pada minggu berkenaan, ini memberi peluang kepada kelompok pengejar diketuai Melaka FC untuk merapatkan jurang mata.
Tiga pasukan berjaya merapatkan jurang ialah Melaka, PT Athletic FC dan PIB Shah Alam FC. Melaka dan PT Athletic masing-masing meraih kemenangan 3-0 ke atas YPM FC dan UiTM United.
Sementara PIB Shah Alam pula melakar kejutan dengan menewaskan BR Damansara 2-1. Meskipun dibarisi beberapa bekas pemain kebangsaan termasuk R. Kogileswaran, PIB mencuri tiga mata penuh menerusi Mustakim Mustapha.
Manakala Malaysian University FT (MUFT) terus memburu empat pasukan teratas liga dengan meraih kemenangan 3-0 ke atas Armed Forces FC.
Berdasarkan kedudukan terkini liga, kedudukan Imigresen dengan KL Rovers FC yang menduduki tempat ketujuh kini hanya dipisahkan lima mata. Sementara kedudukan lima pasukan terbaik juga cukup sengit.
The Mighty Tigers mengumpul 20 mata, satu mata di hadapan Melaka. Pasukan itu turut memiliki kelebihan tiga mata di hadapan PT Athletic dan PIB Shah Alam serta empat mata di hadapan Malaysian University.
Ini jelas menunjukkan saingan liga masih lagi terbuka dengan mana-mana pasukan masih berpeluang mengungguli kejuaraan liga musim 2024/25 pada akhir musim. Perkara ini dinyatakan pengendali Melaka FC, K. Devan baru-baru ini.
“Masih awal, masih awal lagi. Baru tujuh perlawanan dan kita main di tempat lawan hari ini (dan) bukan di tempat sendiri ya. Jadi, mungkin daripada kekalahan ini, seharusnya pasukan saya jadi lebih baik dalam perlawanan-perlawanan akan datang.
“Dan kita kalau boleh mencipta kejayaan. Peluang itu masih ada untuk berada di tangga pertama dan kedua dalam saingan Liga A1 Semi-Pro,” katanya.
Sebarang kekalahan yang dialami mana-mana pasukan akan menyebabkan jurang mata antara mereka semakin rapat. Perkara ini disedari BR Damansara di mana mereka dan KL Rovers kini ketinggalan dua mata di belakang PIB Shah Alam dan PT Athletic.
Dengan purata satu kekalahan bagi setiap tujuh pasukan berkenaan, setiap tiga mata cukup penting jika ingin bergelar juara pada akhir musim.
Selepas ini, minggu hari perlawanan ke-10 menyaksikan beberapa pasukan dari kedudukan tujuh teratas berentap sesama sendiri. Melaka bakal berentap dengan Malaysian University pada 16 Ogos.
Sementara KL Rovers pula menghadapi tentangan BR Damansara pada 18 Ogos. Manakala Imigresen dan PT Athletic berpeluang menambah mata bila berdepan Armed Forces dan YPM pada 17 Ogos.