PIB Shah Alam FC terus mengekalkan rentak cemerlang dalam saingan Liga A1 Semi Pro apabila menewaskan Armed Forces FC.
PIB Shah Alam semakin bersemangat selepas menewaskan Gombak FC 1-0 pada 19 Julai lalu. Sementara Armed Forces pula mahu bangkit selepas dimalukan Bukit Tambun FC 3-0 pada 24 Julai lalu.
Separuh masa pertama menyaksikan PIB Shah Alam berusaha mendapatkan kelebihan gol awal di Stadium USIM, Nilai menerusi penjaring terbanyak mereka, Danial Ashraf Abdullah.
Danial Ashraf yang bergandingan dengan bekas penyerang negara, Ferris Danial Mat Nasir berusaha menembusi gawang Armed Forces yang dikawal Hafizuddin Azuhar.
Dan tuan rumah tidak menunggu lama membuka tirai jaringan menerusi Khairu Anwar Khazali seawal minit keempat.
Tersentak, Armed Forces yang dibimbing Kevin Lee Cooper berusaha mencari gol penyamaan menerusi gandingan Haziq Fikri Haszaime dan Rafizol Roslan tetapi gagal.
Sebaliknya, PIB Shah Alam menggandakan kelebihan mereka menerusi Danial Ashraf pada minit ke-40. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, PIB Shah Alam yang dibimbing Azrin Mohamed terus ghairah memburu gol tambahan.
Keadaan ini memaksa Armed Forces membuat pertukaran pemain dengan harapan dapat merapatkan jurang dengan PIB Shah Alam.
Sebaliknya, tuan rumah menambah satu lagi gol menerusi Ferris Danial pada minit ke-81. Armed Forces meraih gol saguhati menerusi Faiq Mat Alwi pada minit ke-91.
Keputusan ini menyaksikan PIB Shah Alam memintas Bunga Raya Damansara FC (BR Damansara) dan KL Rovers FC untuk menduduki tangga ketiga liga. Ini selepas BR Damansara diikat 1-1 dengan PT Athletic FC.
Sementara Armed Forces pula kekal di tangga ke-11 liga dengan lima mata selepas tewas buat kali keempat musim ini.
Selepas ini, PIB Shah Alam akan menentang Machan FC di Kuching, Sarawak pada 3 Ogos ini. Sementara Armed Forces pula menentang Harini FT di Stadium Utama Kuala Selangor pada hari sama.