Pengenalan waktu sepak mula Liga Malaysia di sebelah petang, nampaknya mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong bolasepak tanah air.
Malaysian Football League (MFL) sebelum ini menyatakan langkah tersebut sebagai satu pembaharuan di dalam usaha mewujudkan suasana dan pengalaman baharu buat penyokong serta mewujudkan hari perlawanan yang lebih dinamik.
Namun, rata-rata penyokong merasakan ia satu langkah kurang tepat kerana Liga Malaysia ada banyak kekangan jika mahu bermain di waktu petang, tidak seperti di Eropah terutamanya disebabkan faktor cuaca yang sudah tentunya memberi kesan besar kepada kondisi dan prestasi pemain.
Bagi pemerhati bolasepak, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, MFL telah membuat keputusan yang tepat sambil menegaskan fizikal para pemain tidak akan berdepan masalah ketara untuk menghadapi perlawanan kompetitif pada sebelah petang.
“Saya fikir tidak ada perbezaan pun pada waktu petang atau malam sebab sudah menjadi kebiasaan apabila mereka juga berlatih pada waktu petang.
“Jadi, saya percaya pemain boleh menyesuaikan tubuh badan mereka untuk hadapi perlawanan kompetitif di sebelah petang dan tidak hanya bermain pada waktu malam,” ujarnya yang merupakan Tenaga Pengajar Elit AFC.
Zulakbal juga menyambut baik langkah MFL memastikan Liga Malaysia terus meriah dengan mengembalikan semula MFL Challenge Cup yang menurutnya akan memberi peluang kepada pemain untuk mendapatkan minit permainan.
“Kecergasan pemain-pemain ini juga akan lebih baik apabila jadual yang diatur ini membuka lebih ruang kepada pemain-pemain untuk tetap beraksi mencari minit permainan dan kenikmatan penyokong bola sepak itu juga tidak akan berhenti jika pasukan pilihan mereka tidak layak ke peringkat seterusnya untuk tetap beraksi dalam pemburuan trofi lain”, jelasnya.
MFL dalam satu taklimat minggu lalu mengumumkan waktu sepak mula baharu perlawanan Liga Malaysia 2023 iaitu lebih awal pada pada 5.15 petang/5.30 petang di Semenanjung manakala 4.30 petang/4.45 petang di Sabah dan Sarawak.
Akan ada juga perlawanan yang berlangsung pada waktu malam seperti musim lalu iaitu pada jam 8.15 malam/9 malam di Semenanjung manakala 7.30 malam/8.15 malam di Sabah dan Sarawak.
Walau bagaimanapun, perlawanan pada sebelah petang ini hanya akan diadakan pada hujung minggu sahaja.