Aksi tertunda saingan Liga Premier hari ini membabitkan pertembungan antara pasukan Kelantan FC dan Johor Darul Ta’zim II.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV menyaksikan pasukan Kelantan terpaksa berpuas hati meraih satu mata di laman sendiri.
Aksi separuh masa pertama bermula dengan jaringan awal berjaya dihasilkan pasukan tuan rumah. Pada minit ke-20 permainan, Nurshamil Ghani mencatat nama sebagai penjaring setelah beliau menyempurnakan sepakan penalti. Rembatan Shamil gagal diselamatkan penjaga gol JDT II, Izham Tarmizi.
Sebelum separuh pertama perlawanan tamat, pemain Kelantan FC, Jasmir Mehat telah dilayangkan kad merah akibat insiden kekasaran yang beliau lakukan. Kelantan mendahului 1-0 pada babak separuh masa pertama perlawanan.
Aksi separuh masa kedua dimulakan dengan serangan banyak dihalakan ke arah pasukan tuan rumah. Barisan serangan JDT II terus bertenaga mengasak untuk mencari jaringan penyamaan.
Usaha pasukan pelawat akhirnya membuahkan hasil apabila pada minit ke-48 permainan, Daryl Sham mencatat nama sebagai penjaring. Hantaran lintang daripada Syahmi Safari mudah ditanduk cantik Daryl Sham.
Beberapa minit selepas jaringan terhasil, perlawanan terpaksa diberhentikan seketika akibat banyak provokasi dari penyokong di luar padang berlaku. 13 minit masa tambahan telah diberikan pengadil untuk waktu kecederaan pada babak kedua permainan.
Kedua-dua pasukan cuba mencari jaringan tambahan namun tidak kesampaian. Perlawanan tamat, Kelantan 1-1 JDT II.