Liga Super Eropah Kembali Cetus Kemarahan Penyokong
Dunia
Indy Sport
Advertisements

Ramai menyangka idea Liga Super Eropah/European Super League (ESL) sudah berakhir selepas menerima tentangan sengit penyokong-penyokong kelab pada April 2021. Tetapi hari ini, ia kembali dengan usul baru agar ia dapat diterima semua termasuk kelab-kelab EPL.

Menerusi usul baru yang diperkenalkan A22, sebuah syarikat yang bertanggungjawab menaja dan membantu pembentukan liga berkenaan, beberapa penambahbaikan dibuat.

Antara penambahbaikan tersebut ialah bilangan pasukan ditambah daripada 12 kepada 80 pasukan, pengenalan tiga divisyen liga, tiada ahli kekal dan pasukan hanya perlu beraksi minimum 14 perlawanan.

Advertisements

CEO A22, Bernd Reichart melihat penambahbaikan ini mampu menjadikan ESL sebagai penyelamat bola sepak Eropah. “Asas-asas bola sepak Eropah kini berdepan ancaman kemusnahan. Sudah tiba masanya untuk berubah.

“Kelab-kelablah yang menanggung risiko perniagaan dalam bola sepak. Tetapi bila keputusan-keputusan penting dibuat, mereka dipaksa berada duduk diam di tepi tatkala institusi kewangan dan sukan runtuh di sekeliling mereka.

Advertisements

“Perbincangan kami turut menjelaskan kelab-kelab merasa sukar untuk bercakap secara terbuka terhadap sistem yang menggunakan ancaman sekatan bagi menghentikan penentangan.

“Dialog kami bersifat terbuka, jujur, membina dan membawa kepada idea-idea jelas tentang perubahan yang diperlukan dan bagaimana ia dilaksanakan. Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan dan kami akan meneruskan dialog,” katanya.

Advertisements

Begitupun, usul baru ESL ini sudah mencetuskan kemarahan ramai pihak kerana dianggap tidak serik di sebalik penentangan keras penyokong terhadap usaha tersebut.

Antara yang berang ialah La Liga yang menyifatkan ESL persis serigala dalam kisah dongeng The Red Riding Hood. Sementara kelab-kelab EPL termasuk Manchester United dan Liverpool turut menolak usaha mewujudkan kembali ESL.

Advertisements

Walaupun LSE menegaskan UEFA dan FIFA tiada hak untuk menyekat mereka, ia boleh saja berubah dengan penghakiman Mahkamah Keadilan Eropah (ECJ) pada akhir tahun ini.

Ini kerana mahkamah telah dinasihati oleh penasihat undang-undang EU, Athanasios Rantos pada Disember tahun lepas bahawa tindakan UEFA dan FIFA mengenakan sekatan kepada LSE sama sekali tidak bertentangan dengan undang-undang persaingan Eropah.

Walaupun hakim mahkamah tersebut tidak terikat dengan hujah yang dibawa, kebiasaannya hakim ECJ mengikut nasihat yang diberikan.

Ketika ini, ESL hanya dianggotai oleh Juventus, Real Madrid dan Barcelona. Melihat kepada situasi kewangan kelab masing-masing, semua sedar itu hanyalah alasan untuk menutup aib kewangan mereka.

Barcelona ketika ini dibelenggu masalah hutang yang bertimbun. Dan untuk musim panas akan datang, mereka perlu menjual lagi pemain bagi memenuhi peraturan kewangan La Liga yang ketat.

Sementara Juventus pula menerima potongan 15 mata selepas didapati bersalah melakukan pemalsuan akaun dan kesalahan kewangan. Sekiranya La Vecchia Signora gagal layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan, mereka akan berdepan masalah kewangan yang lebih serius.

Oleh sebab itu, ESL bukannya penyelamat bola sepak Eropah seperti yang didakwa. Tetapi sebaliknya, ia hanyalah penyelamat poket kelab-kelab gergasi yang berdepan masalah kewangan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram