Liga Super: JDT Cemerlang ‘Belasah’ Perak Di SSI
Liga Super
Johor Southern Tigers
Advertisements

Johor Darul Ta’zim (JDT) FC terus unggul sebagai pendahulu Liga Super dengan Perak FC menjadi mangsa terbaru mereka. Pasukan pelawat dibelasah 5-0 oleh tuan rumah di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) hari ini.

The Bos Gaurus tempang tanpa tiga awang import iaitu Luka Milunovic, Seo Seon-ung dan kapten, Luciano Guaycochea. Tanpa kelibat trio ini, anak-anak buah Yusri Che Lah berdepan kesukaran mengekang jentera serangan tuan rumah.

Dan JDT FC tidak menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi Heberty Fernandes pada minit ke-21. Heberty melakukan satu dummy yang mengelirukan pertahanan Seladang sebelum melepaskan rembatan jarak jauh ke penjuru atas gol pelawat.

Advertisements

Matthew Davies menggandakan kelebihan gol Harimau Selatan enam minit selepas itu. Perak FC terus derita apabila kesilapan penjaga gol T. Shaheeswaran dimanfaatkan Bergson da Silva untuk gol ketiga pada minit ke-35.

Bersambung pada babak kedua, Yusri menukar strategi dengan mengarahkan pemain-pemain Seladang memberi tekanan kepada pemain-pemain tuan rumah dalam kawasan mereka.

Advertisements

Pertukaran strategi berisiko itu membawa padah apabila Oscar Arribas menambah gol keempat pada minit ke-55. Shaheeswaran tidak mampu berbuat apa-apa apabila sepakan percuma Juan Muniz pada minit ke-66 terus menerjah jaring Perak FC.

Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Kemenangan ini memastikan JDT FC semakin hampir menjulang Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut dengan liga berbaki enam perlawanan.

Advertisements

Sementara Perak FC pula kekal di tangga ke-11, lapan mata memisahkan mereka dengan zon penyingkiran liga.

Selepas ini, kedua-dua pasukan kembali fokus kepada aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia. Harimau Selatan yang selesa mendahului Kelantan FC 5-1 secara agregat bakal menerima kunjungan skuad Kijang di SSI pada 19 Ogos.

Advertisements

Manakala The Bos Gaurus pula berharap dapat mempertahankan kelebihan 3-1 yang diraih di Ipoh pada 3 Ogos lalu bila menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 18 Ogos.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram