Kempen Piala Malaysia 2023 hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan Kelantan bertemu pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Skuad kendalian Esteban Solari tepati ramalan apabila cemerlang menewaskan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Seawal minit ketujuh permainan, import sensasi JDT, Bergson Da Silva membuka akaun jaringan. Gerakan trio serangan Harimau Selatan yang melepasi perangkap offside pasukan Kelantan telah dimanfaatkan Ramadhan Saifullah dengan satu hantaran sebelum giliran Bergson meledak.
JDT terus selesa mendahului untuk gol kedua perlawanan menerusi Heberty Fernandes. Kelonggaran barisan pertahanan Kelantan ketika sepakan penjuru yang diambil pasukan pelawat telah memberi ruang buat Heberty menjaringkan gol.
Heberty Fernandes sekali lagi meledak sebelum tamat babak pertama permainan. Kesilapan pertahanan tengah Kelantan yang tidak mengawasi larian Heberty memastikan JDT mendahului 3-0 pada babak pertama perlawanan.
Separuh masa kedua bermula dengan dua pertukaran dilakukan pengendali JDT, Esteban Solari dengan memasukkan Safiq Rahim dan Aysar Hadi bagi menggantikan Hong Wan dan Matt Davies.
Pemain pertahanan JDT, Shahrul Saad turut mencatat nama sebagai penjaring. Sepakan penjuru yang diambil Oscar Arribas disudahkan Shahrul dengan satu tandukan menewaskan penjaga gol Kelantan, Irfan Haikal.
Pada minit ke-66 permainan, gerakan pemain gantian Harimau Selatan, Sumareh dan Daryl Sham telah membuka ruang buat Nazmi Faiz menjaringkan gol. Hantaran Daryl mudah disempurnakan Nazmi untuk gol kelima Kelantan.
Sebelum wisel penamat ditiupkan, Kelantan berjaya mencuri satu gol menerusi pemain gantian, Khalaif Naskam. Percubaan bertenaga Khalaif cantik menerjah jaring JDT. Empat minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan, JDT jinakkan Kelantan dengan keputusan 5-1.
Aksi timbal balik antara kedua-dua pasukan dijadualkan berlangsung pada 19 Ogos 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.