Hasrat Star City FC untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super masih gagal menjadi kenyataan selepas diikat Terengganu FC dalam aksi sengit yang dilangsungkan di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Star City yang dibimbing Mehmed Durakovic menurunkan barisan terkuat dengan Rizal Ghazali dan Rafael Vitor menjadi benteng kebal di bahagian pertahanan. Sementara itu, Terengganu melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama dengan Romel Morales menjadi senjata utama bagi memburu gol dalam perlawanan kali ini.
Perlawanan bermula dengan tempo yang agak perlahan apabila kedua-dua pasukan buntu menembusi kawalan ketat benteng pertahanan masing-masing, sekali gus menyaksikan disiplin bertahan tinggi dipamerkan kedua-dua pasukan.
Tiada percubaan berbahaya berjaya dicipta oleh kedua-dua pasukan sehingga minit ke-40 apabila rembatan deras penyerang Terengganu, Romel Morales menggegar palang. Bola muntah kemudian disambar Elvis Kamsoba menerusi percubaan susulan, namun berjaya ditangkap kemas oleh Farhan Majid di gawang Star City.
Romel Morales sekali lagi hampir membuka tirai jaringan apabila melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada masa kecederaan, namun percubaannya mudah ditangkap kemas oleh penjaga gol.
Separuh masa pertama akhirnya berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, Star City tampil lebih dominan apabila mereka mula menguasai permainan menerusi gerakan hantaran pendek yang kemas dan tersusun.
Jaringan pembukaan yang dinanti-nantikan akhirnya hadir pada minit ke-55 apabila Douglas Oliviera tenang menyudahkan hantaran lolos jauh daripada Pedro Santos. Menerima bola dalam situasi yang cukup baik, Oliviera terlebih dahulu berjaya memperdaya Shahrul Nizam sebelum melepaskan rembatan yang cukup mengelirukan Suhaimi Husin di gawang Terengganu untuk mengubah kedudukan menjadi 1-0 memihak Star City.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Terengganu segera meningkatkan asakan ke kubu Star City dengan tempo permainan yang lebih pantas, khususnya ketika melancarkan serangan ke arah kawasan pertahanan lawan.
Azfar Fikri mempunyai peluang keemasan untuk menggandakan kelebihan Star City pada minit ke-73 apabila berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol. Namun, ketika pintu gol terbuka luas, penyerang itu gagal memanfaatkan peluang tersebut apabila rembatannya melambung tinggi melepasi palang.
Pada minit ke-77, Romel Morales berjaya meledak jaringan penyamaan menerusi penyudah mudah selepas menyambar lambungan daripada sepakan percuma. Bagaimanapun, jaringan tersebut sempat mencetuskan debaran apabila pengadil mengambil masa beberapa minit untuk meneliti situasi berkenaan sebelum akhirnya mengesahkan gol tersebut, sekali gus mengubah kedudukan menjadi terikat 1-1.
Kedua-dua pasukan rancak menyerang selepas jaringan tersebut namun kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus memaksa kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Keputusan seri tersebut menyaksikan Terengganu kekal di tangga keenam liga, manakala Star City yang masih belum mencatat sebarang kemenangan kekal menghuni tangga kedua tercorot.