Liga Super: Negeri Sembilan Ada Skuad Kedua Terbesar Selepas JDT
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC memiliki skuad kedua terbesar dalam saingan Liga Super di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini berdasarkan semakan di Transfermarkt berhubung bilangan pemain yang dimiliki pasukan-pasukan Liga Super.

JDT memiliki 42 pemain diikuti oleh Negeri Sembilan dengan 33 pemain. Selangor FC, Kuching City FC dan Sabah FC berkongsi tempat ketiga dengan 32 pemain.

Empat daripada 33 pemain Sang Rusa merupakan penjaga gol. 11 orang termasuk kapten, Khuzaimi Piee sebahagian daripada jentera pertahanan Negeri Sembilan.

Sembilan pemain termasuk pemain tengah baharu dari Jepun, Yuichi Hirano membentuk komposisi bahagian tengah.

Sembilan lagi termasuk bekas penyerang Malaysia B-23, Luqman Hakim Shamsudin menjadi sebahagian daripada jentera serangan Sang Rusa.

Jika dibandingkan Negeri Sembilan dan JDT dari segi nilai skuad, perbezaannya ibarat langit dan bumi. Ini kerana skuad JDT bernilai €15.95 juta (RM73.5 juta) berbanding Negeri Sembilan (€3.2 juta/RM14.7 juta).

Lima pemain yang memiliki nilai terbesar dalam pasukan ialah Azri Ghani, Jovan Motika, Takumi Sasaki, Luis Enrique Nsue dan Oday Kharoub.

Azri, Motika dan Sasaki masing-masing memiliki nilai €225,000 (RM1.03 juta). Nsue dan Oday pula masing-masing bernilai €200,000 (RM920,000).

Kedudukan semasa menyaksikan Negeri Sembilan ketika ini menduduki tangga kelapan liga dengan 17 mata. Musim 2025/26 turut menyaksikan Sang Rusa berjaya mara ke peringkat suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia.