MakanBola.com, Petaling Jaya, 12 Sept – Pasukan tangga ketiga Liga Super, Penang FC terlepas peluang untuk merebut slot Piala AFC selepas diikat Terengganu 2-2 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang malam ini.
Perlawanan bermula garang apabila kedua-dua pasukan terus melancarkan serangan bertali-arus bagi memperoleh jaringan awal. Sungguhpun begitu, kekebalan barisan pertahanan kedua-dua pasukan menggagalkan setiap usaha yang dilakukan oleh barisan serangan lawan masing-masing.
Seterusnya, pasukan tuan rumah dilihat selesa untuk mengatur gerak menerusi hantaran jauh. Namun begitu, gerakan serangan balas yang direncanakan oleh Terengganu menerusi David Da Silva hampir membuahkan hasil.
Perlawanan semakin rancak apabila pertahanan tengah Penang FC, Latiff Suhaimi dilayangkan kad merah dan memberikan pasukan pelawat sepakan penalti.
Namun begitu, sepakan tersebut gagal disempurnakan oleh David Da Silva apabila sepakan lemahnya mudah dibaca oleh Samuel Somerville untuk mengekalkan keadaan.
Gol yang ditunggu-tunggu Terengganu akhirnya tiba apabila sepakan penjuru disempurnakan Argzim Redzovic menerusi satu tandukan pada minit ke-25.
Penang FC tidak mudah menyerah apabila menggandakan usaha untuk menembusi gawang gol yang dikawal Suhaimi Husin.
Hasilnya, Penang Fc memperoleh gol penyamaan menerusi Sheriddin Boboev pada minit ke-40 sebelum penyerang import berbisa, Casagrande meletakkan tuan rumah dihadapan pada minit ke-45.
Perlawanan pada separuh masa pertama berkesudahan dengan Penang mendahului 2-1.
Bersambung babak kedua, usaha kedua-dua pasukan memburu jaringan diteruskan apabila Terengganu melakukan beberapa pertukaran untuk memberikan nafas baru buat pasukan.
Usaha ini membuahkan hasil apabila Terengganu menyamakan kedudukan menerusi penyudah kemas Lee Tuck pada minit ke-80 selepas menerima hantaran Hafizal Mohamad.
Perlawanan berkesudahan dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Penang menamatkan musim Liga Super 2021 di tangga ke-3 diekori rapat Terengganu ditangga ke-4 liga.