Liga Super: Penang FC Meneruskan Kemarau Kemenangan, Kali Ini Tewas Kepada Sri Pahang
Dunia
mfl
Advertisements

Perlawanan Liga Super ini menemukan dua pasukan yang masih mencari kemenangan pertama dalam saingan Liga Super iaitu Sri Pahang dan Penang FC. Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan buat pasukan Sri Pahang dengan keputusan 3-1 menumpaskan Penang FC Di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Penang hampir mendahului Sri Pahang seawal minit ke-2 permainan namun tandukan Christian Rontini hasil dari sepakan sudut tepat ke dakapan Mamadou Samassa.

Selang dua minit selepas itu, Manuel Hidalgo hampir menjaringkan gol melalui satu rembatan deras namun rembatan tersebut berjaya diselamatkan pertahanan Penang, Latiff Suhaimi ketika mana penjaga gol Penang sudah pun tertewas.

Advertisements

Untuk 20 minit pertama kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun keampuhan benteng menjadi penghalang kedua-dua pasukan mendapatkan gol pendahuluan.

Selepas serangan demi serangan dilakukan, akhirnya Sri Pahang berjaya mendahului Penang melalui satu rembatan menarik dari Azam Azih pada minit ke-28. Rembatan deras dari luar kotak penalti itu seperti jaringan berkelas dunia dan gol tersebut menjadikan kedudukan 1-0 memihak Sri Pahang.

Selepas terhasilnya gol tersebut, Penang cuba mencari gol penyamaan namun gerak serangan yang cuba dilancarkan berjaya dipatahkan barisan pertahanan Sri Pahang yang diketuai Johan Martial.

Advertisements

Faiz Mazlan mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol penyamaan buat Penang pada minit ke-42 namun rembatan dari dalam kotak penalti itu berjaya ditepis oleh penjaga gol.

Ketika perlawanan hampir ditamatkan, pemain gantian Penang, Sukri Hamid akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan melalui satu rembatan lencong kaki kiri yang sekali gus menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan terikat 1-1.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan terus berbalas serangan namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang.

Advertisements

Mamadou Samassa sekali lagi bertindak cemerlang dalam perlawanan ini apabila menafikan rembatan menarik jarak jauh Faiz Mazlan pada minit ke-49.

Sri Pahang akhirnya berjaya menggandakan kedudukan menjadi 2-1 pada minit ke-65 selepas David Rowley menjaringkan gol melalui tandukan hasil hantaran Baqiuddin.

Belum sempat Penang mengatur serangan, Sri Pahang sekali lagi menggandakan kedudukan menjadi 3-1 pada minit ke-73. Kali ini melalui pemain gantian Sean Gan Giannelli yang mudah menolak masuk hantaran dari Azam Azih.

Advertisements

Selepas jaringan tersebut terhasil, pergerakan bola dilihat sangat perlahan dan variasi serangan banyak dipatahkan dari bahagian tengah padang.

Kedudukan kekal 3-1 memihak Sri Pahang sehingga wisel penamat ditiupkan. Kemenangan ini merupakan kemenangan pertama buat Sri Pahang musim ini manakala kekalahan Penang ini menjadikan mereka satu-satunya pasukan yang masih belum mencipta kemenangan dalam saingan Liga Super dan menghuni tangga tercorot liga.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram